Cari @ Amanz

Perkara yang kami rasakan agak mengejutkan tahun ini ialah trend penggunaan skrin nirbingkai. Hampir kesemua pengeluar mempunyai peranti nirbingkai 18:9 mereka sendiri. Tambah mengejutkan ia turut ditemui pada peranti kelas pertengahan. Biasanya sebelum ini fungsi pada peranti utama yang diperkenalkan pada peranti kelas pertengahan pada tahun seterusnya.

Honor 7X ialah sebuah lagi peranti nirbingkai yang akan memasuki pasaran Malaysia pada 12 Disember hadapan. Di atas kertas ia adalah sebuah Huawei Nova 2i dengan beberapa fungsi yang dikurangkan. Huawei kerap kali menghasilkan peranti Honor yang berkongsi spesifikasi tetapi pada harga yang lebih rendah. Ini ialah pandangan kami mengenai Honor 7X.

Spesifikasi

Honor 7X
Skrin 5.9″ IPS LCD FHD+ (401 PPI)
Pemproses Hisilicon Kirin 659
CPU 4 x 2.36 GHz Cortex A53 + 4 x 1.7 GHz Cortex A53
Cip Grafik Mali T-830 MP2
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16+2 Megapixel, PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel
Bateri 3340 mAh (Pengecasan 10W)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Nano)
Jalur LTE 1/3/5/8/38/39/40/41
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Harga Jualan Belum diumumkan

Skrin 5.9″ IPS LCD FHD+ nirbingkai mempunyai nisbah 18:9 digunakan. Ini ialah rekaan FullView Display yang ditemui pada Huawei Nova 2i sebelum ini. Sila ingatkan nama peranti ini kerana seperti kami katakan pada awal artikel, Honor 7X ialah sebuah Nova 2i yang dijual pada harga lebih mampu milik. Kerana ia sebuah peranti mampu milik, skrin ini tidak mempunyai sokongan paparan HDR.

Skrin ini dipadankan pula dengan pemproses kelas pertengahan atas HiSilicon Kirin 659 dengan empat teras Cortex A53 pada kelajuan 2.36 Ghz dan empat lagi teras Cortex A53 pada kelajuan 1.7 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali T-830 MP2. Di Malaysia hanya model dengan memori sebesar 4GB RAM dengan storan 64GB ditawarkan. Bagi yang inginkan storan lebih besar, kad mikroSD sehingga 256GB disokong. Kad mikroSD ini berkongsi talam dwi-SIM bersaiz nano yang disertakan.

Kamera utama pada bahagian belakang adalah sebesar 16+ 2 Megapixel dengan kemampuan merakam pada tetapan tertinggi 1080P 30FPS. Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel. Pada spesifikasi kamera, perbezaannya dengan Nova 2i mula kelihatan. Tiada sistem dwi-kamera digunakan pada peranti ini. Hanya dwi-kamera pada bahagian belakang digunakan semula.

Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 3340 mAh yang tidak boleh ditanggalkan. Peranti dicas menggunakan kabel mikroUSB dengan hanya pengecasan pada output maksimum 10W (5V/2A). Ini bukanlah format pengecasan yang pantas. Kami merasakan untuk peranti tahun 2017, pengecasan pantas sepatutnya telah menjadi standard. Namun tiadanya sokongan pengecasan pada peranti kelas pertengahan ini turut dilakukan oleh Oppo dan Vivo sebelum ini.

Turut tidak disertakan ialah sistem NFC atau infra merah. Tetapi jangan risau kerana sistem imbasan cap jari dan bicu audio disertakan. Pengimbas cap jari berbentuk bulat terletak pada bahagian belakang dan bicu audio pada bahagian bawah peranti.

Rekabentuk

Rekaan dari bahagian hadapan memang tiada perbezaan ketara jika dibandingkan dengan Nova 2i. Bezel sisi yang nipis dipadankan dengan dagu dan dahi yang nipis. Skrin peranti ini tercantum dengan kemas kepada kerangka peranti. Kami amat menyukai rekaan yang digunakan oleh Honor kerana ia jauh lebih kemas serta selesa jika dibandingkan dengan yang ditemui pada peranti Oppo dan Vivo.

Skrin yang digunakan adalah terang dengan sudut pandangan yang baik. Tiada komen negatif boleh diberikan kecuali ia tidak menggunakan panel OLED yang kini menjadi pilihan utama pengeluar. Penggunaan OLED akan meningkatkan harga jualan dan tidak sesuai dengan peranti keluarkan Honor tahun ini.

Kesemua sisi peranti adalah dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan apabila dipegang. Menurut Honor, buku 7X mempunyai sistem seakan beg udara yang menyerap hentakan apabila terjatuh. Jurucakap Honor melakukan beberapa ujian jatuhan dari aras telinga untuk membuktikan ketahanan peranti keluaran mereka.

Ketiga-tiga butang navigasi terpapar pada skrin. Tiada lagi penggunaan skrin navigasi fizikal. Kesemua butang home, back dan multi-tugas kini boleh diubah mengikut citarasa pemilik. Malahan pelancar EMUI 5.1 yang digunakan memberikan sehingga empat butang diletakkan pada bahagian bawah skrin. Tiada lagi sokongan untuk kawalan berasaskan gesture kerana tiadanya butang home fizikal pada bahagian hadapan.

Panel belakang yang diperbuat daripada logam dengan kemasan yang pusam. Sungguhpun begitu ia tetap memerangkap kotoran dengan mudah. Dua garis antena pada bahagian atas dan bawah menyerupai yang digunakan pada Nova 2i.

Perubahan ketara hanyalah pada susunan dwi-kamera yang mendatar pada bucu kiri berbanding pada bahagian tengah menegak pada Nova 2i. Sedikit mengecewakan ialah kewujudan dua bonjol lensa yang ketara. Akibatnya peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Butang suara adalah dari jenis rocker. Walaupun Honor adalah jenama mampu milik, kualiti butang yang digunakan adalah amat premium. Ia teguh di dalam soket dengan timbal balas memuaskan apabila ditekan.

Bergerak ke sisi kiri terdapat pula talam dwi-SIM merangkap kad mikroSD. Untuk mengeluarkan talam pengguna perlu terlebih dahulu mencucuknya dengan menggunakan jarum. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat bicu audio 3.5mm yang menghimpit port pengecasan mikroUSB dan kekisi untuk pembesar suara mono.

Honor 7X pada hemat kami mempunyai rekaan yang cantik dan kemas. Di dalam tangan ia terasa setanding dengan peranti-peranti premium di pasaran. Zaman peranti kelas pertengahan dengan binaan plastik telah lama berakhir. Sebagai pengguna ini ialah perkembangan yang amat baik.

Antaramuka

Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar EMUI 5.1. Ini mungkin perkara yang mengecewakan mengenai peranti ini kerana sistem operasi yang sudah berusia. Umum diketahui Huawei sudahpun mengeluarkan peranti dengan sistem operasi Android Oreo dan pelancar EMUI 8.0. Di dalam dunia yang sempurna, Android Nougat sepatutnya tidak lagi digunakan pada peranti baru.

Sungguhpun begitu peranti kami sedari berfungsi dengan pantas dan lancar. Pada pelancar EMUI 5.1, pengguna boleh memiliki untuk memaparkan butang khas untuk talam aplikasi yang popular di Barat atau meletakkan kesemua aplikasi di muka hadapan seperti yang popular di China. Tindakan Honor memberikan pilihan ini sangat kami hargai kerana Android ialah sistem operasi yang terbuka.

Berikut ialah antara senarai fungsi-fungsi menarik yang disertakan pada Honor 7X

App Twin – Fungsi pendua aplikasi. Membolehkan dua aplikasi seperti WhatsApp digunakan secara serentak dengan dua akaun berbeza.

Home Screen Style – Mengubah antaramuka untuk menggunakan talam aplikasi ataupun tidak

Multi Window – Memaparkan dua aplikasi serentak dengan skrin dibahagikan kepada dua.

Navigation Key –  Kustomasi susunan butang navigasi atas skrin mengikut kehendak pengguna.

One-handed UI – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan secara sebelah tangan.

Phone Manager – Aplikasi membersihkan storan, mengawal aplikasi , memeriksa bateri dan menghalang mesej spam terbina.

Screen Off Gesture – Dwi-tap untuk menghidupkan skrin yang terkunci.

Scrollshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan menekan butang kuasa dan suara serentak.

Slide Gesture – Menatal talam notifikasi ke bawah dan menatal galeri gambar menggunakan pengimbas cap jari di belakang peranti.

Kesimpulan

Tahun 2017 ialah tahun yang amat menarik di dalam sejarah peranti mudah alih. Akhirnya penggunaan skrin nirbingkai yang memanjang digunakan secara meluas. Sungguh tidak disangka rekaan eksperimental yang diperlihatkan oleh Xiaomi Mi Mix menjadi pemangkin ledakan rekaan peranti yang paling drastik sejak pengenalan iPhone sedekad yang lalu.

Sama ada anda suka atau tidak, rekaan nirbingkai akan terus kekal dan kemungkinkanan besar menggantikan rekaan skrin 16:9. Dari sudut positif ia memaksa kesemua pengeluar untuk akhirnya menggunakan butang navigasi atas skrin yang boleh diubahsuai mengikut kehendak pengguna. Tiada lagi masalah butang kapasitif kekal yang tidak boleh diubah atau berlampu. Kami sudah bertahun berharap rekaan butang atas skrin menjadi standard pada peranti Android.

Rekaan nirbingkai ini juga memberikan saiz skrin yang semakin besar tanpa perubahan saiz fizikal peranti. Dengan data selular semakin murah selari dengan kepantasan internet di Malaysia, peranti pintar kini menjadi medium utama menonton kandungan video. Skrin lebih besar bermakna lebih seronok menonton walaupun ketika berbaring di atas katil.

Honor 7X akan menawarkan rekaan terkini dan menarik pada harga mampu milik. Walaupun belum diumumkan harganya oleh Honor, kami yakin ia pasti lebih murah berbanding Huawei Nova 2i yang dijual pada harga RM 1299.

Dari pengalaman menggunakannya semalam sehari, Honor 7X menawarkan fungsi yang sama seperti yang ditemui pada peranti yang jauh dari mahal. Pemproses Kirin 659 mungkin dianggap pertengahan tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, ini adalah lebih dari memadai untuk kegunaan harian majoriti pengguna. Honor 7X akan dijual di Malaysia bermula 12 Disember ini. Ulasan penuh peranti ini akan kami terbitkan sebelum tarikh tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd