Apple Mungkin Membangunkan Sendiri Cip Pengurusan Tenaga Untuk iPhone Seawal 2018

Apple Mungkin Membangunkan Sendiri Cip Pengurusan Tenaga Untuk iPhone Seawal 2018

Diterbitkan pada Dis 1, 2017 oleh .

Apple dilihat mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar lain dalam membangunkan beberapa perkara. Selepas ingin membangunkan cip grafik sendiri sebelum ini, kini menurut laporan daripada Nikkei, Apple mungkin merekabentuk sendiri cip pengurusan tenaga untuk digunakan pada iPhone seawal 2018 kelak.

Laporan baru ini selari dengan laporan sebelum ini, sekaligus mengurangkan kebergantungan Apple terhadap pengeluar Dialog Semiconductor. Walaubagaimanapun, sebelum ini ia diperkatakan yang mana perubahan daripada Apple ini mungkin hanya berlaku sekitar 2019 kelak.

Buat masa ini, cip pengurusan tenaga yang digunakan oleh iPhone, iPad dan Apple Watch direkabentuk oleh Dialog. Ia dikatakan berkemungkinan Apple menggunakan cip yang rekabentuk sendiri pada sebahagian iPhone keluaran 2018 kelak.

Apple dilihat ingin merekabentuk semuanya secara sendiri bagi memudahkan mereka bersaing dengan perkembangan teknologi terkini, selain mengintegrasikan pelbagai perkara dengan mudah – terutamanya berkenaan kecerdasan buatan.

Seperti biasa, tiada komen rasmi dikeluarkan oleh Apple mengenai desas-desus baru ini.


TIPS & ULASAN