Illegear, syarikat pembina laptop tempatan tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka membina pelbagai jenis laptop dan komputer desktop khusus untuk permainan komputer pada pelbagai bajet.
Terkini, mereka telah memperkenalkan laptop terbaru mereka, iaitu Illegear S7 Elite, Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 generasi ke-7 Kaby Lake, memori DDR4 sehingga 64GB, pilihan storan bersaiz 2.5 inci (SSD/cakera keras) dan juga pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB GDDR5 ataupun GTX 1070 8GB GDDR5.
Apa yang membuatkan laptop ini menarik lagi ialah kehadiran kad bunyi Creative Sound Blaster X Pro Gaming 720. Pembeli juga boleh memilih untuk membeli model dengan paparan skrin beresolusi Full HD (1920×1080) ataupun 4K (3840×2160) yang bersesuaian dengan kad grafik GTX 1070.
Tambahan lagi, laptop ini juga dipadankan dengan papan kekunci yang mempunyai sokongan sistem pencahayaan RGB bagi mereka yang mahukan papan kekunci mereka berkelip seperti bintang berwarna-warni.
Laptop Illegear S7 Elite ini sudahpun boleh dibeli melalui laman web Illegear, dan konfigurasi asas laptop ini bermula pada RM7299, dan boleh ditambah-baik mengikut konfigurasi yang anda inginkan.