Dikatakan seramai 800 ribu rakyat Malaysia disenarai hitamkan kerana mereka tidak membayar hutang kepada pelbagai pihak. Dan oleh kerana ini, ramai rakyat Malaysia tersangkut di bahagian pemeriksaan pasport kerana mereka baru mendapat tahu bahawa mereka tidak boleh terbang keluar negara tanpa membayar hutang-hutang ini terlebih dahulu.
Jabatan Imigresen Malaysia baru sahaja meletakkan tiga kiosk menyemak status senarai hitam di lapangan terbang KLIA untuk membolehkan orang ramai untuk menyemak status mereka sebelum mereka melewati pintu penerbangan di lapangan terbang tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali, kiosk-kiosk ini direka dengan kerjasama bersama Datasonic Group Bhd supaya mereka tidak tersangkut di bahagian imigresen. Dikatakan juga kebanyakan dari mereka yang tersenarai didalam senarai hitam ini adalah mereka yang tidak membayar hutang PTPTN.
Buat masa ini, kiosk ini hanya terdapat berdekatan bahagian masuk KLIA, tetapi Jabatan Imigresen Malaysia menyatakan hasrat untuk meletakkan kiosk-kiosk ini di tempat-tempat seperti KLIA 2. Bukit Kayu Hitam di Kedah dan juga Bangunan Sultan Iskandar di Johor.
Menurut Mustafar lagi, sejak kiosk ini diperkenalkan pagi semalam. terdapat 200 orang yang telahpun mencuba kiosk tersebut menjelang waktu tengahari.