Google Melancarkan Android Oreo (Edisi Go) Untuk Peranti 512MB Dan Ke Atas

Google Melancarkan Android Oreo (Edisi Go) Untuk Peranti 512MB Dan Ke Atas

Diterbitkan pada Dis 5, 2017 oleh .

Google pada Google I/O terdahulu telah mengumumkan Android Go iaitu program Android untuk peranti berspesifikasi rendah. Kini Google telah mula mengedarnya kepada para pembangun dan pengeluar bagi memudahkan pembangunan peranti Android Go ini.

Program Android Go telah membolehkan para pengeluar membangunkan peranti Android asas berasaskan Android Oreo, dengan penawaran memori minimum 512MB atau 1GB RAM. Perkara ini sekaligus membolehkan peranti Android berspesifikasi asas ditawarkan untuk negara-negara membangun tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak bagi menikmati pelbagai ciri-ciri menarik Android.

Apa yang membezakannya dengan Android One, Android Go dilengkapi dengan sejumlah aplikasi Google yang dioptimasikan untuk kegunaan luar-talian dan penjimatan data, termasuk aplikasi Google Go, Google Assistant, Google Maps Go, Gmail, dan YouTube Go.

Sistem operasi Android dengan program ini juga menawarkan peningkatan prestasi dan storan yang dioptimasikan untuk peranti berspesifikasi asas, sekaligus memberi pengalaman Android yang lebih baik walaupun ia tidak dijana dengan memori dan pemprosesan yang lebih berkuasa.

Dengan pelancaran program ini kepada para pengeluar, kita mungkin dapat melihat lebih banyak peranti Android Oreo dibangunkan dan ditawarkan pada harga peranti yang lebih rendah.


TIPS & ULASAN