Cari @ Amanz

Instagram hari ini telah memulakan ujian untuk sebuah aplikasi terbaru berasingan yang dinamakan sebagai Direct. Melaluinya, ia memfokuskan kepada sokongan permesejan. Buat masa ini, aplikasi ini ditawarkan di Chile, Itali, Portugal, Israel, Turki, dan Uruguay.

Sekiranya pengguna memasang aplikasi ini, ia membuang ciri permesejan pada aplikasi utama Instagram, dan pengguna perlu menggunakan Direct untuk berkomunikasi secara peribadi dengan seseorang pengguna.

Instagram Direct sebelum ini sedia ditawarkan secara terbina pada aplikasi Instagram sejak beberapa tahun lepas. Kini, dengan pengenalannya secara berasingan, ia sekaligus menjadikan Facebook mempunyai tiga aplikasi permesejan – selain WhatsApp dan Facebook Messenger.

Menggunakan Direct, selain hanya menghantar mesej berbentuk teks, pengguna turut boleh menghantar gambar atau video – selain menambah penuras yang diinginkan dengan mudah.

Buat masa ini, aplikasi ini masih pada peringkat ujian di beberapa buah negara sahaja – dan mungkin diperluaskan berdasarkan kepada maklumbalas awal pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd