Cari @ Amanz

Baru sebulan selepas mengumumkan kad grafik NVIDIA GTX 1070 Ti, NVIDIA kini dilihat mengumumkan ketibaan kad grafik paling berkuasa mereka setakat ini, iaitu NVIDIA GeForce GTX Titan V, yang menggunakan cip pemproses terbaru mereka, Volta.

Kad grafik Titan V ini hadir dengan 21.1 bilion transistor, 5120 teras CUDA dan berkebolehan untuk menjalankan 110 TFLOP tugas perkomputeran, dan dibina menggunakan silikon 12nm yang baru. Dari segi memori pula ia menggunakan memori HBM2.0 sebanyak 12GB.

Kelajuan asas kad grafik ini ditetapkan pada 1.2GHz, manakala dengan GPU Boost, ia mempunyai kelajuan setinggi 1.445GHz. Kad grafik ini juga dilengkapi dengan tiga port DisplayPort dan sebuah port HDMI.

Kad grafik ini menggunakan cangkerang penyejuk yang biasa digunakan oleh kad-kad grafik siri GTX 10xx, dengan satu-satunya perbezaan yang nyata ialah penggunaan warna emas berbanding dengan warna kelabu sebelum ini.

Menurut NVIDIA, kegunaan kad grafik GTX Titan V ini bukanlah untuk permainan komputer, sebaliknya untuk pengiraan saintifik. simulasi grafik dan kegunaan supercomputer.

Bagi yang berminat, kad grafik NVIDIA GeForce GTX Titan V kini boleh dibeli untuk harga $3000 (RM12000) di kedai atas talian NVIDIA Store sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd