Media sosial mula popular pada tahun 2001 dengan wujudnya Friendster. Ia platform untuk berkenal-kenalan serta mencari jodoh. Facebook kemudian muncul dan mengubah media sosial menjadi platform untuk berkongsi berita dan perniagaan. Fungsi asal media sosial sudah banyak berubah dan harus diakui ia digunakan oleh orang ramai untuk sebaran berita yang kurang sahih.
Chamath Palihapitiya yang merupakan mantan Timbalan Presiden Perkembangan Pengguna Facebook dipetik berkata media sosial kini bertanggungjawab merosakkan masyarakat ketika sesi dialog di Stanford Graduate School of Business. Beliau berasa bersalah atas penglibatan beliau dalam menghasilkan laman yang kini dijadikan alat untuk memporak perandakan dunia secara global.
Beliau menambah lagi bahawa media sosial tidak mempunyai perbincangan bertamadun, tiada kerjasama, perkongsian maklumat yang salah dan berita palsu. Perkongsian maklumat yang salah di media sosial memberikan impak negatif di dunia sebenar. Di India tujuh individu terbunuh kerana penyebaran maklumat tidak sahih mengenai penculikan menerusi WhatsApp.
Kami bersetuju dengan pendapat Chamath Palihapitiya. Sejak akhir-akhir ini kegilaan insan untuk mengejar like dan tular mengakibatkan terlalu banyak kepalsuan dikongsikan tanpa usul periksa. Minggu ini sahaja tular mengenai restoran makanan segera didakwa menyalurkan wang ke negara Zionis sedangkan ia sudah acap kali dinafikan.
Sudah tiba masanya pengguna peranti pintar menjadi lebih pintar sebelum menekan butang kongsi. Masa untuk menyahtoksin diri dari media sosial.