Cari @ Amanz

Maybank hari ini telah memulakan ujian untuk perkhidmatan pembayaran nirtunai mereka dinamakan Maybank QRPay. Melaluinya, Maybank menggunakan sokongan pembayaran melalui imbasan kod QR.

Maybank QRPay diintegrasikan terus pada aplikasi Maybank di Android dan iOS – sekaligus memudahkan lagi proses pembayaran. Segala pembayaran ditolak terus daripada akaun Maybank, tanpa perlu membuat tambah-nilai seperti sejumlah perkhidmatan nirtunai yang lain.

Maybank QR Pay

Menggunakan Maybank QRPay, pengguna boleh mengimbas kod QR pada gerai atau kedai menggunakan aplikasi Maybank, dan seterusnya memasukkan nilai yang perlu dibayar ke kedai. Maybank juga dijangka memperkenalkan sokongan QR dinamik yang membolehkan pengguna mengimbas dan nilai dimasukkan secara automatik.

Buat masa ini, Maybank memulakan ujian melibatkan 33 gerai di Laman Menara Maybank. Pengguna umum boleh berkunjung dan mencubanya sendiri di Menara Maybank bermula hari ini sehingga awal Januari 2018 kelak.

Maybank dijangka melancarkan perkhidmatan ini secara terbuka dengan lebih meluas pada Januari 2018 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd