Cari @ Amanz

Arena dompet digital semakin popular pada hari ini, dalam usaha memudahkan pengguna melakukan transaksi nirtunai dengan lebih pantas berbanding kebiasaan. Terkini, Mastercard turut dilihat telah memperkenalkan sokongan dompet digital Masterpass untuk pengguna tempatan.

Masterpass

Masterpass merupakan perkhidmatan dompet digital daripada Mastercard yang membolehkan pengguna menyimpan maklumat kad kredit mereka, dan membuat pembayaran dengan lebih pantas berbanding kebiasaan yang memerlukan anda memasukkan maklumat pembayaran ketika membeli secara atas-talian.

Masterpass kini disokong pada sejumlah laman e-dagang tempatan, termasuk untuk membeli tiket wayang TGV Cinemas, di laman Groupon, Lelong, The Edge dan beberapa yang lain.

Masterpass TGV

Dengan Masterpass, ketika pendaftaran, anda akan diminta menambah kad kredit atau debit anda. Selepas menambahnya, ketika melakukan pembayaran, anda boleh menekan pada butang “Pay With Masterpass”, dan proses pembayaran anda akan lebih pantas berbanding sebelum ini. Ini kerana anda tidak perlu memasukkan maklumat pembayaran setiap kali ingin membayar – sebaliknya hanya memasukkan maklumat sekali pada Masterpass, dan seterusnya terus membayar menggunakan Masterpass.

Sekiranya anda turut menggunakan dompet digital dengan sokongan Masterpass (hasil kerjasama bank-bank), maka ketika pembayaran, anda akan diminat untuk mengimbas sebuah kod QR khusus untuk mengesahkan pembayaran berkenaan. Aplikasi rasmi Masterpass sendiri masih belum boleh dimuat-turun buat masa ini.

Daripada pengamatan kami, Masterpass dilihat lebih memfokuskan kepada memudahkan pembayaran melalui pembelian atas-talian.

Bagi anda yang aktif melakukan pembayaran menggunakan Mastercard, mungkin boleh menyemak penawaran daripada Masterpass ini hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd