Cari @ Amanz

Peranti paling hangat sejak sebulan yang lalu di Malaysia pastinya iPhone X. Kami menyedari ramai pengguna melawat ruang pameran Apple untuk melihat sendiri iPhone pertama dengan rekaan nirbingkai. Jualan juga nampak memberangsangkan jika dibandingkan dengan iPhone 8. Tetapi menurut laporan Bloomberg yang memetik penganalisa dari firma Cowen, jualan iPhone X mungkin lebih rendah dari yang disasarkan.

Karl Ackerman penganalisa dari Cowen berkata sejak beberapa minggu kebelakangan ini, masa menanti untuk membeli iPhone X sudah semakin singkat. Secara global ia kini hanya mengambil 1-3 hari berbanding 1-3 minggu pada minggu-minggu awal jualan. Terdapat juga laporan Apple mengurangkan pesanan komponen iPhone X dari pembekal. Jualan model lebih lama juga dilihat lebih tinggi.

Apple masih belum berkongsi angka juala rasmi iPhone X, Sungguhpun begitu sebanyak 79 juta iPhone dijangka akan dijual bulan Disember ini berbanding 78 juta tahun lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd