Cari @ Amanz

Penjualan komputer desktop dikatakan berkurang saban tahun. akan tetapi, tahun ini melihat peningkatan penggunaan komputer bersaiz besar ini untuk pelbagai jenis aktiviti, tidak kiralah untuk kerja, santai, dan juga permainan komputer.

Menurut laporan daripada Lowyat.Net, Dell Malaysia dilihat membawa masuk siri komputer desktop terbaru mereka, iaitu Dell XPS Tower, yang dikuasakan oleh CPU Intel generasi kelapan yang terbaru, Coffee Lake. Siri komputer ini juga mempunyai beberapa konfigurasi yang cukup menarik yang membolehkannya dibeli untuk tujuan penggunaan harian, ataupun sebagai komputer berkuasa untuk tujuan permainan komputer ataupun menyunting video.

Spesifikasi-spesifikasi yang boleh dimuatkan kedalam komputer XPS Tower ini termasuklah CPU Intel Core i5-8400, i7-8700, dan i7-8700K, memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan SSD sehingga 256GB dan cakera keras sebesar 2TB.

 

Dari segi kad grafik pula, komputer siri XPS Tower ini hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GT 1030, GTX 1060 dan juga GTX 1080. Komputer Dell XPS Tower ini bermula dari harga RM3111 untuk konfigurasi paling rendah, dan RM8011 untuk spesifikasi yang berkuasa.

Menariknya, Dell kini sedang memberi diskaun rebat sebanyak RM888 untuk setiap pembelian komputer ini sehingga 28 Disember kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd