Carian
Polis London Akan Menggunakan Kecerdasan Buatan Bagi Mengesan Pornografi Bawah Umur
December 20, 2017 Effi Saharudin

Beberapa tahun yang lalu negara dikejutkan dengan berita Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang pelajar Malaysia di UK yang disabitkan kesalahan memiliki pornografi kanak-kanak bawah umur. Sebanyak 30,000 gambar dan video ditemui pada komputer milik beliau. Nur Fitri kemudian dihantar pulang bagi meneruskan pelajaran dan rakyat secara majoriti beliau akan bebas melakukan kesalahan yang sama di Malaysia.

Proses mencari bahan bukti yang tersimpan di dalam komputer dan peranti suspek kini masih lagi digunakan oleh pihak polis secara manual. Akhbar The Telegraph melaporkan proses mengesan kewujudan pornografi bawah umur bakal dilakukan oleh kecerdasan buatan oleh Metropolitan Police kota London.

Penggunaan kecerdasan buatan akan mempercepatkan proses mencari bahan bukti. Tetapi kelebihan utamanya ialah tiada anggota polis yang mengalami trauma melihat ribuan imej menjijikkan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Sistem ini dijangka beroperasi dalam masa tiga tahun. Buat masa ini perisian pengenalan imej telah digunakan bagi mengesan gambar pistol, dadah dan wang dari peranti suspek. Penggunaan kecerdasan buatan amat diperlukan kerana pada tahun 2016, sebanyak 53,000 peranti telah dirampas oleh Metroplitan Police bagi mencari bukti jenayah. Angka ini akan semakin meningkat dan anggota polis manusia tidak akan dapat mencari bukti dengan pantas berbanding kecerdasan buatan.

Komen