Carian
Sharp Aquos S2 Dengan Rekaan Nirbingkai Kini Di Malaysia Pada Harga RM1299
December 22, 2017 Aman

Sharp Mobile hari ini telah memperkenalkan sebuah telefon pintar baru untuk pasaran tempatan, iaitu Sharp Aquos S2. Telefon pintar ini hadir dengan rekaan skrin menyeluruh dan nirbingkai, serta ditawarkan di Malaysia pada harga RM1299.

Sharp Aquos S2 menggunakan skrin 5.5-inci HD penuh pada resolusi 2040×1080 pixel – sekaligus menawarkan skrin pada nisbah 17:9. Ia turut dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 630, memori 4GB RAM dan ruangan storan 64GB. Ia dilengkapi dengan kamera gabungan dwi-kamera 12MP dan 8MP di belakang, sementara untuk kamera selfie, Sharp Aquos S2 menggunakan kamera 8-megapixel.

Menjadi fokus utama pada telefon pintar ini adalah sokongan rekaan nirbingkainya, dimana ia menawarkan skrin menyeluruh, dan rekaan sedikit ronggak untuk penyertaan kamera hadapan. Pada bahagian bawah, ia sedikit tebal memandangkan ia menyertakan sokongan pengimbas cap jari dan juga logo Sharp.

Sharp Aquos S2

Melengkapkan telefon pintar ini adalah sistem operasi Android – tetapi ditambah dengan antaramuka Sharp yang dinamakan Smile UX. Sharp mengatakan ia turut menyertakan ciri-ciri kecerdasan buatan bersama dengannya, termasuk interaksi suara berasaskan kecerdasan buatan untuknya – selain kebolehan melajukan peranti dan menjimatkan bateri melalui penggunaan ciri kecerdasan buatan yang mempelajari penggunaan seseorang.

Sharp Aquos S2 akan ditawarkan pada harga RM1299 bermula 6 Januari 2018 kelak. Pengguna turut boleh melakukan pra-tempahan untuknya mulai 28 Disember ini melalui beberapa pengedar rasmi, termasuk di Lazada.

Komen