Telekom Malaysia : Berhati-Hati Dengan Penipuan Melibatkan Pembayaran Bil

Telekom Malaysia : Berhati-Hati Dengan Penipuan Melibatkan Pembayaran Bil

Diterbitkan pada Dis 22, 2017 oleh .

Telekom Malaysia kini mengeluarkan sebuah notis amaran kepada pengguna supaya tidak tertipu dengan beberapa panggilan yang diperkatakan daripada pihak TM, mengatakan mereka daripada agensi kutipan bil dan meminta pengguna membuat bayaran kepada akaun pihak ketiga.

Menurut TM, daripada modus operandi yang dikenal-pasti, pengguna akan menerima panggilan yang dikatakan daripada TM, dan meminta pengguna menekan butang “9” untuk bercakap dengan khidmat pelanggan. Panggilan tersebut akan mengatakan yang mana pengguna mempunyai bil tertunggak dan perkhidmatan mereka akan dimatikan – membuatkan kebarangkalian pengguna untuk bercakap dengan “khidmat pelanggan” adalah sangat tinggi.

Sebaik sahaja ia disambungkan, orang tersebut akan meminta beberapa maklumat dan informasi sensitif daripada pengguna yang melibatkan bayaran dan sebagainya.

Telekom Malaysia menekankan yang mana pembayaran untuk bil TM hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi dan bukan melalui akaun peribadi atau syarikat yang dikatakan mewakili pihak TM. TM menekankan supaya jangan sekali-kali memindahkan duit kepada akaun syarikat yang mengatakan mereka mewakili TM atau sebarang akaun peribadi.

Pada masa yang sama, TM menekankan supaya pengguna boleh menggunakan perkhidmatan e-bayaran untuk memastikan mereka benar-benar membuat bayaran terus ke TM dengan melayari laman Unifi.com.my.


TIPS & ULASAN