Sekitar 40% Tindanan Teknologi Cathay Pacific Menggunakan AWS

Sekitar 40% Tindanan Teknologi Cathay Pacific Menggunakan AWS

Diterbitkan pada Dis 26, 2017 oleh .

Sedar atau tidak, syarikat penerbangan di mana-mana negara adalah antara syarikat yang tertua atau syarikat besar yang terawal di setiap negara. Ini kerana syarikat penerbangan merupakan syarikat yang penting bagi setiap negara dan menghubungkan negara dengan dunia luar. Dan sebagai syarikat berusia, kadangkala terdapat cabaran dalam menerima perubahan teknologi.

Pada acara AWS Reinvent 2017, pihak Cathay Pacific telahpun berkongsi sedikit sebanyak mengenai perubahan yang dilakukan mereka terutamanya paa tindanan teknologi (technology stack). Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Hong Kong ditubuhkan pada 1946 dan kini dengan arus modenisasi, menerima lebih banyak pembelian tiket kapal terbang berbanding terdahulu.

Bercakap mengenai perubahan tindanan teknologi yang dilakukan Cathay Pacific, Lawrence Fong menyatakan yang mana bahagian IT mereka menghadapi cabaran seawal tahun 2015, dimana platform teknologi yang digunakan mereka tidak lagi dapat menampung permintaan pelanggan. Terdapat banyak insiden, baik dari segi sekuriti dan juga gangguan operasi yang berlaku, sekaligus menggugat keuntungan mereka.

Dalam menyelesaikan masalah ini, mereka mula mengalihkan pangkalan data mereka disamping melakukan perubahan dari segi sistem operasi. Jika dahulu laman web mereka langsung tidak mesra untuk paparan pelayar pada peranti mudah alih, kini pengguna boleh melakukan pembelian terus dari peranti, baik menggunakan pelayar atau menggunakan aplikasi.

Lawrence turut menyatakan yang mana mereka telah melakukan kajian dan dalam kes ini, sistem AWS dilihat yang bersesuaian dengan mereka, dari segi sekuriti dan kestabilan. Malah perkhidmatan AWS juga dilihat lebih menyeluruh, dengan pelbagai komponen perkhidmatan yang boleh digunakan pasukan teknikal Cathay Pacific. Ini berbeza dengan penyedia perkhidmatan awan yang lain dimana isu-isu seperti keselamatan, dan juga tindanan teknologi (technology stack) yang mungkin tidak disokong.

Antara perkhidmatan AWS yang digunakan oleh Cathay Pacific adalah Amazon Virtual Private Cloud (VPC) untuk laman web mereka, Amazon Relational Database Services (RDS) sebagai pusat data dan juga transaksi, serta aplikasi yang beroperasi menggunakan Amazon Elastic Compute Cloud (EC2). Dan bagi menjamin kelajuan, komponen perkhidmatan Amazon ElastiCache digunakan bersama Amazon Simple Storage Service (S3) bagi tujuan penyimpanan gambar statik.

Dengan tindanan teknologi diatas, ia sedikit sebanyak mempercepat kualiti perkhidmatan Cathay Pacific malah mereka dapat menawarkan lebih banyak produk dan tawaran untuk penumpang mereka.

Berbeza dengan tanggapan umum yang mana mungkin tidak yakin dengan sistem perkhidmatan awan, Lawrence turut menyatakan hanya 40% dari keseluruhan tindanan teknologi mereka menggunakan AWS namun 40% tersebut merupakan komponen yang penting, termasuklah dari segi pembelian tiket yang biasanya tidak diletakkan pada perkhidmatan awan. Malah pembangunan mereka dari segi tindanan teknologi kini 67% lebih pantas berbanding dahulu.

Untuk masa akan datang, pihak Cathay Pacific akan meneruskan usaha dalam memodenkan inftrasruktur teknologi mereka, dan berubah mengikut keperluan teknologi semasa. Salah satu perkara dalam kajian mereka adalah teknologi rantaian blok (Blockchain) untuk salah satu program kesetiaan mereka iaitu AsiaMiles.

Mengakhiri perkongsian, Lawrence turut menyatakan yang mana pada masa akan datang, lebih banyak perubahan teknologi yang bakal dibawakan Cathay Pacific, dan mereka akan meneroka dalam pelbagai teknologi baru termasuklah dalam kecerdasan buatan. Bagi memberi contoh, dengan kecerdasan buatan bagi syarikat penerbangan, sistem tersebut dapat menjangka sesuatu tempahan tersebut, sekiranya palsu atau menggunakan pembayaran yang tidak sah.


TIPS & ULASAN