Cari @ Amanz

Huawei boleh dikatakan antara syarikat yang masih baru dalam arena telefon pintar, tetapi tahun demi tahun mereka memperlihatkan peningkatan yang baik – dan kini adalah antara syarikat terkemuka dalam arena berkenaan.

Pada tahun 2017 ini sendiri, sejumlah peranti baru telah diperkenalkan – termasuk Huawei P10, Huawei Mate 10, dan juga Huawei Nova 2i. Kesemuanya menerima permintaan yang tinggi daripada pengguna – memandangkan ia menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik pada harga yang lebih berpatutan berbanding beberapa pengeluar lain.

Huawei Malaysia

Berkongsi lanjut mengenainya, hari ini pihak Huawei Malaysia mengatakan kini mereka memegang sekitar 19.2% pasaran tempatan – dan kebanyakkan peranti mereka menerima permintaan yang tinggi. Angka terbaru ini meletakkan Huawei di posisi kedua pasaran tempatan. Huawei Nova 2i sendiri habis terjual pada minggu pertama, dan sehingga kini ia masih menerima permintaan tinggi dikalangan pengguna.

Huawei turut mengatakan yang mana mereka tidak mengejar angka jualan, sebaliknya lebih mementingkan kepuasan pelanggan. Mengulas lanjut, Huawei Malaysia menyasarkan untuk membuka lebih banyak sokongan khidmat pelanggan, sekaligus memudahkan pengguna untuk mendapatkan sesuatu informasi berkaitan produk Huawei dengan mudah.

Untuk 2018 kelak juga, Huawei menyasarkan untuk menawarkan lebih banyak model variasi dibawah keluarga Nova.

Siri Nova ditujukan kepada pasaran “muda” dan inginkan sesuatu yang bergaya. Ini turut diimplementasikan pada rekaan produk – dimana ia sesuatu yang berbeza jikalau dibandingkan dengan produk keluaran Huawei lain dari segi rekaan.

Disamping itu, siri Nova juga sering menyertakan beberapa ciri-ciri lebih awal berbanding yang lain – apatah lagi ia menyasarkan pasaran pengguna “muda” yang sering mengemari ciri-ciri baru untuk digunakan berbanding peranti lain.

Huawei Nova 2i sebelum ini telah menjadi yang terawal menyertakan sokongan 4-kamera pada telefon pintar, sementara Nova 2s yang ditawarkan di China pula memfokuskan kepada sokonan muzik dan ciri nyah-kunci berasaskan pengecaman wajah.

Bergerak ke 2018, Huawei mengatakan mereka mempunyai perancangan untuk menawarkan lebih banyak variasi peranti dibawah keluarga Nova – selain pada masa yang sama turut memfokuskan penawaran keluarga peranti siri-P dan Mate.

Huawei juga mengatakan mereka melihat untuk menawarkan beberapa kandungan khusus daripada pembangun tempatan secara terbina pada telefon pintar mereka – namun ia masih pada peringkat idea awal lagi. Fokus terhadap arena kecerdasan buatan juga dijangka akan terus diperluaskan – dan mungkin kita akan turut melihat integrasi NPU turut dibawa kepada peranti-peranti berspesifikasi pertengahan dan bukan terhad kepada peranti berspesifikasi tinggi sahaja.

Seperti biasa, dengan beberapa teknologi yang telah diperlihatkan oleh Huawei sebelum ini, semestinya kita akan menantikan lebih banyak pembaharuan dan kejutan inovasi yang ditawarkan oleh pengeluar terkemuka dari China ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd