LG Bakal Memperkenalkan Siri Pembesar Suara Pintar LG Di CES 2018 – Hadir Dengan Google Assistant
LG

LG Bakal Memperkenalkan Siri Pembesar Suara Pintar LG Di CES 2018 – Hadir Dengan Google Assistant

Diterbitkan pada Dis 28, 2017 oleh .

Amazon, Apple dan juga Google hadir dengan pembesar suara pintar mereka pada tahun ini, dan nampaknya 2018 bakal melihat penularan peranti tersebut, yang dikatakan boleh membantu pengguna mengawal pelbagai fungsi di rumah melalui sambungan WiFi.

Nampaknya LG bakal memasuki pasaran pembesar suara pintar ini juga dengan sebuah peranti yang dinamakan LG ThinQ, yang bakal diperkenalkan di acara Consumer Electronics Show 2018 tidak lama lagi.

Tidak banyak yang diberitahu oleh LG mengenai pembesar suara ini, selain daripada ia adalah satu kerjasama bersama-sama dengan Meridian Audio, dan ia akan hadir dengan sokongan untuk format fail audio nirhilang HiRes Audio dan juga sokongan untuk pembantu kecerdasan buatan Google Assistant.

Menurut LG lagi, ini bukanlah satu-satunya pembesar suara pintar yang mereka akan diperkenalkan di acara CES 2018 kelak. Mereka juga akan hadir dengan sebuah pembesar suara pintar yang boleh disambungkan ke televisyen, bernama LG SK10Y. Pembesar suara ini juga direka bersama-sama Meridian Audio, dan hadir dengan teknologi Height Elevation yang akan menyelarikan lokasi audio sama dengan televisyen tersebut.

Butiran-butiran lanjut seperti tarikh penjualan dan harga untuk produk-produk ini masih belum diumumkan lagi oleh LG, dan kebarangkalian besar mereka hanya akan mengumumkannya di acara CES 2018 tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN