Carian
Apple Mohon Maaf Kerana Memperlahankan iPhone Generasi Lama
December 29, 2017 Aman

Lanjutan daripada laporan mengenai Apple yang memperlahankan iPhone generasi lama, hari ini gergasi perkomputeran berkenaan mengeluarkan kenyataan rasmi, dan memohon maaf kepada semua pengguna disebabkan olehnya.

Apple mengatakan mereka melakukan perubahan dan mengurangkan kuasa pemprosesan pada iPhone generasi lama dalam memastikan para pengguna akan dapat kekal menikmati iPhone seperti biasa – dan supaya bateri lama tidak memberikan kesan kepada penggunaan mereka.

Apple sebelum ini telah mengimplementasi kawalan terhadap prestasi iPhone lama sejak setahun lepas melalui kemaskini iOS 10.2.1 yang memberikan kesan kepada iPhone 6, iPhone 6 Plus, iPhone 6s, iPhone 6s Plus, dan juga iPhone SE. Disamping itu, perkara sama turut dilakukan pada iPhone 7 dan juga iPhone 7 Plus melalui iOS 11.2.

Seperti dinyatakan sebelum ini, pengguna boleh mengembalikan prestasi iPhone seperti biasa dengan mengubah kepada bateri baru. Apple sebelum ini dikatakan mengurangkan prestasi iPhone generasi lama kerana mungkin terdapat pemprosesan yang memerlukan tenaga tinggi yang mungkin tidak dapat ditampung oleh bateri lama – sekaligus membuatkan iPhone tertutup secara automatik. Untuk mengatasinya, Apple mengurangkan prestasi iPhone lama melalui kemaskini perisian iOS – namun tidak berterus terang dengan pengguna berkaitan dengannya.

Bergerak kehadapan, Apple mengatakan mereka akan mengurangkan harga untuk menggantikan bateri lama pada iPhone bermula Januari 2018 kelak, selain Apple turut akan menawarkan kemaskini iOS yang turut memperlihatkan jangka hayat dan prestasi bateri iPhone mereka tersendiri. Harga gantian untuk pengguna di Malaysia masih belum diumumkan – tetapi di Amerika Syarikat ia berharga sekitar $25.

Komen