Nokia pada tahun ini telah memperkenalkan Nokia 3310 generasi baru yang hadir dengan skrin berwarna dan sejumlah perkara baru bersama-sama dengannya – sekaligus mengembalikan nostalgia telefon berkenaan kembali.
Ketika pengenalan, versi yang diperkenalkan adalah hanya menyokong rangkaian 2G. Selang beberapa bulan selepasnya, Nokia 3310 3G turut telah diperkenalkan – dan kini melalui pengesahan yang diterima melalui TENAA di China, Nokia 3310 versi 4G turut dijangka hadir.
Daripada info yang dipaparkan di laman TENAA, ia memperlihatkan yang mana telefon Nokia 3310 4G ini bakal menjalankan sistem operasi berasaskan YunOS yang mana berasaskan kepada Android. Namun, ia telah melalui pelbagai pengubah-suaian dan hanya khusus untuk pasaran China sahaja.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada Nokia 3310 4G ini akan dipasarkan untuk pasaran luar China atau sebaliknya. Jikalau ya, ia juga akan menjadi pertanyaan apakah sistem operasi yang akan digunakan oleh Nokia 3310 4G ini kelak.