Sepanjang 2017 : Arena Komponen Komputer Dan Perkakasan

Sepanjang 2017 : Arena Komponen Komputer Dan Perkakasan

Diterbitkan pada Dis 31, 2017 oleh .

Arena perkakasan dan komponen komputer boleh dikatakan sedikit sepi beberapa tahun lepas, tetapi 2017 menyaksikan ia menerima perhatian ramai kembali – sekaligus pelbagai perkara menarik berlaku dalam arena ini sepanjang 2017 ini. Kini, bersempena penghujung 2017, kami di Amanz menghimpunkan beberapa perkara menarik yang berlaku dalam arena ini sepanjang 2017.


AMD Ryzen

AMD Ryzen

AMD ialah sebuah syarikat yang dibelenggu masalah selama hamper sedekad kerama mereka tidak mampu bersaing dengan Intel di pasaran CPU pengguna. 2017 merupakan tahun kebangkitan semula syarikat tersebut kerana CPU AMD Ryzen hadir dengan prestasi yang mengagumkan pada tanda harga mampu-milik, dan pelbagai ciri-ciri yang membuatkannya sebuah komponen yang berbaloi untuk wang anda.


AMD RX Vega

Selain daripada CPU AMD Ryzen, satu lagi produk yang membantu kebangkitan AMD pada tahun 2017 ialah kad grafik AMD RX Vega. Tidak seperti CPU AMD Ryzen yang dapat dilihat melalui pelbagai tirisan sebelum pelancarannya, butiran mengenai kad grafik RX Vega ini dirahsiakan. Ia mula diperkenalkan di acara COMPUTEX di Taipei, tetapi butiran penuh hanya diumumkan di acara SIGGRAPH 2017. Bersama-sama dengan cip pemproses grafik Vega, ia juga satu-satunya kad grafik yang menggunakan memori HBM2 yang cukup pantas sekali.


Raja Koduri Meninggalkan AMD, Memasuki Intel

Raja Koduri, ketua Radeon Technologies Group merupakan orang yang paling penting dalam pengeluaran kad grafik AMD RX Vega tahun ini. Beliau merombak semula bahagian grafik AMD, dan syarikat tersebut telah melihat peningkatan penjualan kad grafik yang cukup tinggi dibawah jagaannya. Apabila ura-ura mengenai kerjasama mengenai Intel dan AMD untuk mencipta sebuah CPU yang hadir dengan teknologi grafik AMD berputik, berita yang lebih mengejutkan ialah pemergian Raja Koduri dari AMD untuk ke Intel.

Walaupun pemergian Raja Koduri dari AMD boleh dikatakan sesuatu yang cukup mengejutkan, pihak AMD berkata mereka tidak terlalu risau mengenainya kerana mereka sudahpun mempunyai peta jalan untuk produk-produk grafik mereka untuk beberapa tahun yang akan datang, dan juga akan bersedia untuk sebarang pelanggaran paten jika Intel dilihat menggunakan teknologi AMD tanpa kebenaran.

Kerjasama Intel Dan AMD

Jika anda mengikuti sejarah syarikat-syarikat AMD dan Intel, anda pasti tahu bahawa kedua-dua syarikat ini bagaikan anjing dengan kucing, sentiasa bergaduh dengan satu sama-lain. Menariknya, pada tahun dimana AMD dilihat semakin sengit bersaing dengan Intel, Team Blue nampaknya bakal bekerjasama dengan AMD untuk mencipta sebuah CPU yang hadir dengan cip pemprosesan grafik dari AMD.

Beberapa butiran mengenai cip pemprosesan ini sudah pun tertiris, dan CPU ini, yang dinamakan Intel Core i7-8709G dikatakan sebuah CPU Intel generasi ketujuh Kaby Lake, dan akan hadir dengan cip pemprosesan grafik terbaru AMD yang dinamakan AMD RX Vega M yang hadir dengan memori grafik HBM2 sebanyak 4GB. CPU ini juga dikatakan akan diumumkan secara rasmi pada pertengahan tahun depan.


Intel Coffee Lake: Core i3 Pertama Dengan 4 Teras

Kebangkitan AMD pada tahun 2017 bermakna bahawa Intel perlu hadir dengan beberapa produk yang bukan sahaja peningkatan berkala seperti saban tahun sebelum ini. Pengganti CPU Intel Kaby Lake, iaitu Coffee Lake dilihat sebagai CPU yang akan menentukan samada Intel sedar dengan keluhan pengguna sebelum ini, ataupun tidak, dan menariknya, ia hadir dengan beberapa CPU yang cukup menarik sekali.

Siri CPU Intel Core i3 Coffee Lake hadir dengan beberapa model yang mempunyai empat teras CPU, sesuatu yang Intel tidak pernah lakukan sebelum ini. Malah, salah satu daripada CPU ini, iaitu Intel Core i3-8500K yang boleh di-overclock. Sayang sekali, siri Intel Core i5 Coffee Lake masih tidak hadir dengan sokongan HyperThreading untuk menjadikan CPU tersebut sebuah produk yang menarik perhatian.


Intel Core i9

Intel Core i9

Siri CPU Intel Core i9 boleh dikatakan diantara berita yang cukup menarik sekali pada tahun ini kerana kehadirannya tidak dijangka oleh sesiapa. Terdapat desas-desus yang menyatakan bahawa CPU yang hadir dengan konfigurasi 18 teras dan 36 bebenang ini hanyalah kerana Intel memerlukan sebuah produk yang boleh bersaing dengan CPU Threadripper dan EPYC, CPU-CPU HEDT (High-End Desktop) keluaran AMD.

Lebih menarik lagi ialah berita yang menyatakan Intel akan hadir dengan CPU Intel Core i9 yang boleh dimuatkan di dalam sebuah komputer riba untuk kegunaan tugas-tugas mengekod video resolusi tinggi dengan cepat dalam sebuah peranti mudah-alih.


NVIDIA Max-Q

NVIDIA Max-Q

GPU NVIDIA Max-Q diperkenalkan secara rasmi oleh NVIDIA di acara COMPUTEX di Taipei, akan tetapi, ia sebenarnya mula-mula dilihat di acara Acer GPC di New York apabila syarikat pembuat computer dari Taiwan tersebut memperkenalkan laptop Acer Predator Triton 700, sebuah laptop gaming berkuasa yang hadir dengan sebuah kad grafik GTX 1080 didalam sebuah cangkerang yang cukup nipis sekali.

Teknologi Max-Q ini hadir melalui kad-kad grafik GeForce GTX 1080 dan juga 1070, dan teknologi ini membantu pembuat laptop memuatkan kad grafik bertaraf desktop didalam sebuah cangkerang laptop yang nipis. Buat masa ini, laptop-laptop yang dapat dilihat menggunakan kad grafik ini termasuklah Acer Predator Triton 700, ASUS ROG GX501 Zephyrus dan juga Illegear S5X.


Perkakasan Komputer Untuk Melombong Kriptowang Semakin Meningkat

2017 juga melihat peningkatan jumlah penjualan perkakasan computer khusus untuk melombong kriptowang seperti Bitcoin, Ethereum dan sebagainya. Peningkatan nilai kriptowang ini menyebabkan ramai orang membeli perkakasan komputer, terutamanya kad grafik dari jenama AMD dan juga NVIDIA untuk tujuan melombong kriptowang ini, dan ini menyebabkan harga untuk komponen-komponen ini meningkat secara mendadak.

Ini juga menyebabkan pihak NVIDIA untuk hadir dengan kad grafik yang dibina khusus untuk tujuan melombong kriptowang, dan juga syarikat-syarikat seperti GIGABYTE, MSI dan sebagainya untuk hadir dengan papan induk dan kad grafik untuk tujuan khusus ini.


Windows Dengan Cip Pemproses Qualcomm

Di acara Snapdragon Tech Summit beberapa minggu lalu, Qualcomm dilihat hadir dengan pengumuman untuk beberapa komponen-komponen dan teknologi terbaru, termasuklah pengumuman untuk SoC Qualcomm Snapdragon 845. Satu lagi pengumuman yang cukup menarik yang hadir di acara tersebut ialah pengumuman bahawa pihak Microsoft akan bekerjasama dengan Qualcomm untuk membolehkan system operasi Windows 10 S mereka digerakkan pada platform ARM tersebut.

Di acara Snapdragon Tech Summit tersebut juga, terdapat beberapa pembuat komputer riba yang bakal hadir dengan komputer riba yang dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon, termasuklah ASUS NovaGo dan juga HP Envy x2.


Jadi, ini adalah antara berita mengenai arena perkakasan dan komponen komputer yang menarik minat kami sepanjang 2017 ini. Bagi anda sendiri, apakah berita yang benar-benar mencuri perhatian anda sepanjang 2017 ini?


TIPS & ULASAN