Cari @ Amanz

Sebagai seorang pengguna tegar tablet Microsoft Surface, ia merupakan salah satu peranti kerja yang cukup sukar sekali untuk ditinggalkan setelah anda biasa menggunakannya.

Secara peribadi, saya menggunakan tablet Microsoft Surface Pro 3 untuk beberapa tahun, dan walaupun prestasinya masih lagi cukup hebat, jangkahayat baterinya menurun secara mendadak, dan dengan satu pengecasan penuh, saya hanya dapat menggunakannya selama 2-3 jam sebelum peranti tersebut mati.

Jadi apabila pihak Microsoft berkata mereka mahu pihak Amanz mengulas tablet Surface Pro terbaru mereka, saya mengambil peluang tersebut tanpa sebarang segan silu.

Spesifikasi Dan Rekaan

Microsoft Surface Pro (2017)
Skrin 12.3″ PixelSense Display
Pemproses Intel Core i5-77
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman SSD 128GB
Kamera 5MP
USB 1 X USB-A 3.0
HDMI Tiada
Pembaca Kad MikroSD
Bateri 51 Wh
Harga Jualan RM4380

Microsoft Surface Pro terbaru ini hadir dengan spesifikasi dan rekaan yang cukup menarik. Dari segi komponen, model yang kami terima hadir dengan CPU Intel Core i5 generasi ketujuh, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan sebesar 128GB.

Tablet ini juga hadir dengan paparan skrin bersaiz 12.3 inci yang menggunakan teknologi PixelSense pada resolusi 2736 x 1824 dengan nisbah paparan 3:2 yang seakan-akan sama dengan nisbah sebuah kertas A4 yang mempunyai sokongan sentuhan 10 titik

Tidak seperti peranti Surface Pro sebelum ini, salah satu perbezaan yang dapat dilihat pada Surface Pro yang baru ialah bingkai yang lebih nipis berbanding sebelum ini. Dari segi I/O pula, peranti ini masih mempunyai palam-palam yang sama seperti peranti sebelum ini, termasuklah sebuah palam USB 3.0 Type-A, sebuah pembaca kad microSD dan juga sebuah palam mini DisplayPort.

Untuk tablet semahal ini, kami rasakan bahawa Microsoft sekurang-kurangnya patut menambahkan satu lagi palam USB 3.0 supaya pengguna dapat menyambungkan lebih daripada satu peranti ke peranti ini.

Dari segi rekaan pula, tablet Surface Pro ini masih lagi menggunakan gabungan logam aluminum dan magnesium untuk memastikan bahawa tablet ini bukan sahaja kukuh, tetapi cukup ringan untuk dibawa kemana-mana sahaja.

Rekaan kickstand  tablet Surface Pro terbaru ini diberikan sedikit nafas baru yang membolehkan pengguna untuk menolak tablet ini ke belakang hampir 180 darjah, dan ini cukup sesuai sekali bagi mereka yang ingin menggunakan tablet ini di bahagian paha.

Satu lagi ciri yang cukup menarik bagi pengguna tablet Surface Pro terbaru ini ialah model dengan CPU Intel Core i5 tidak hadir dengan sebarang kipas, dan semua komponen didalam tablet tersebut disejukkan secara pasif, bermakna tablet ini akan kekal senyap tidak kira apa jua tugasan yang dilakukan pada tablet tersebut.

Ciri-Ciri Dan Aksesori

Dari segi ciri, tablet Surface Pro ini tidak hadir dengan banyak ciri-ciri khas, selain daripada sokongan Windows 10 yang diintegrasi dengan cukup baik sekali, termasuklah penggunaan teknologi log masuk Windows Hello yang menggunakan webcam yang hadir pada tablet tersebut.

Paparan skrin 12.3 inci Surface Pro ini juga hadir dengan sokongan 10 titik sentuhan, yang membuatkannya cukup sesuai sekali digunakan sebagai peranti kerjasama yang mudah-alih.

Tablet-tablet lain kebanyakannya memerlukan WiFi untuk bersambung ke Internet, tetapi dengan Surface Pro, pihak Microsoft baru sahaja mengumumkan model yang hadir dengan sokongan LTE untuk pasaran Malaysia melalui sebuah kad nanoSIM.

Akan tetapi, tablet Microsoft Surface Pro ini tidak lengkap tanpa aksesori tambahan, yang pada pendapat kami merupakan satu keperluan. untuk memaksimakan penggunaan tablet ini sebagai mesin kerja mudah-alih.

Aksesori pertama ialah Surface Type Cover, sebuah penutup paparan yang juga berfungsi sebagai sebuah papan kekunci khusus untuk tablet Surface Pro ini.

Surface Type Cover terbaru untuk tablet Surface Pro ini hadir dengan beberapa penambahbaikan yang menarik. Diantaranya ialah penggunaan kain Alcantara untuk memastikan tapak tangan anda berasa selesa apabila menggunakan papan kekunci tersebut untuk jangka-masa yang lama.

Selain dari itu, papan kekunci Type Cover ini juga diperbaiki berbanding dengan model-model yang lepas. Kekunci Type Cover baru ini mempunyai tekanan kunci yang lebih dalam, dan lebih selesa ditekan berbanding dengan Type Cover sebelum ini.

Dari segi susun atur kekunci, Type Cover ini juga mempunyai aturan yang lebih mudah untuk ditekan tanpa melihat kekunci, dan ini sesuatu yang cukup baik sekali, terutamanya untuk mereka yang lebih biasa dengan cara menaip touch-typing.

Satu-satunya kekurangan Type Cover ini pada pendapat kami hadir pada bahagian trackpad.  Ia masih lagi tersekat-sekat, dan ia terlalu mudah ditekan apabila anda hanya ingin menaip. Ini agak menjengkelkan kerana apabila kami menaip dengan laju, penunjuk teks sering akan dialih ke bahagian yang lain kerana trackpad tersebut ditekan secara tidak sengaja.

Surface Type Cover dengan kain Alcantara ini hadir dengan beberapa rekaan warna yang cukup menarik, termasuklah Platinum, Cobalt Blue dan juga Burgundy bagi mereka yang inginkan penutup papan kekunci yang menarik.

Sebuah lagi aksesori yang pastinya akan diterima baik oleh golongan pelukis, ataupun artis digital ialah Surface Pen terbaru oleh Microsoft. Rekaan stylus ini tidak banyak berbeza dengan model-model yang terdahulu, tetapi ia mempunyai ciri-ciri baru yang membuatkannya lebih digemari oleh artis-artis digital yang sering melukis dan mereka menggunakan tablet.

Diantaranya ialah kebolehan untuk mengesan 4096 tahap tekanan, termasuklah jenis lukisan yang lebih tirus ataupun condong, hampir sama seperti jika anda menggunakan pen ataupun berus melukis yang sebenar.

Dari segi ketahanan bateri pula, Surface Pen ini menggunakan sebuah bateri bersaiz AAAA, dan menurut Microsoft, ia mampu bertahan selama setahun, bergantung kepada cara penggunaannya. Di bahagian atas stylus ini ialah pemadam digital, yang membolehkan anda memadam lukisan atau warnaan anda seperti anda sedang memadam menggunakan pemadam diatas pensel.

Surface Pen ini boleh digunakan dengan pelbagai perisian melukis, seperti Paint Tool Sai, Adobe Illustrator, Clip Studio Paint, Windows Ink dan sebagainya tanpa sebarang masalah.

Walaupun stylus ini tidak diberikan kepada kami sewaktu menguji Surface Pro ini, saya sempat menggunakannya buat sementara waktu pada acara pelancaran tablet Surface Pro, dan pada pendapat saya, stylus ini rasanya seperti menggunakan pen/pensel yang sebenar pada permukaan tablet ini.

Ia tidak tersekat-sekat seperti pelbagai stylus yang pernah saya gunakan sebelum ini, dan walaupun saya hanya sempat menggunakannya untuk menulis menggunakan perisian Windows Ink, ia cukup selesa sekali.

Pengalaman Pengguna

Sebagai pengguna tablet Microsoft Surface yang tegar, peranti Microsoft Surface pro yang terbaru ini adalah seperti menggunakan tablet Surface Pro yang lebih kurang sama seperti sebelum ini.

Dari segi prestasi, tablet Surface Pro yang terbaru ini, dengan CPU Intel generasi ketujuh Kaby Lake dan memori DDR4 bersama-sama dengan storan SSD memastikan bahawa tablet tersebut tidak akan menghadapi masalah sela-masa (lag).

Oleh kerana tablet Surface Pro ini hadir dengan CPU Intel Core i5 generasi ketujuh, ia juga mempunyai satu ciri yang cukup menarik, iaitu sistem penyejukan pasif. Jika Surface Pro terbaru anda hadir dengan CPU Intel Core m3 ataupun i5, anda boleh menggunakan laptop ini untuk membuat kerja anda tanpa perlu risau mengenai bunyi kipas bising menggangu konsentrasi anda.

Satu lagi ciri yang cukup menarik buat kami sewaktu penggunaan tablet ini ialah jangka-hayat bateri tablet ini. Microsoft berkata bahawa jangka-hayat bateri ini adalah selama 13-14 jam dengan satu pengecasan penuh.

Sayang sekali, jumlah masa bateri ini tidaklah sepanjang yang dikatakan oleh Microsoft. Dengan kecerahan paparan pada 50 peratus dan WiFi dipasang pada sepanjang masa, kami dapati bahawa tablet Surface Pro ini hanya mampu bertahan selama  9 hingga 10 jam.

Walaupun jangka hayat sebenar bateri ini sedikit meleset berbanding dengan apa yang dijanjikan, daya ketahanan bateri 9 ke 10 jam ini cukup bagus untuk tugasan-tugasan harian saya di Amanz, termasuklah menulis, melayar laman web, mengedit gambar dan video, dan sebagainya. Saya boleh melakukan semua tugas-tugas ini tanpa perlu mengeluarkan adapter kuasa untuk mengecas tablet ini.

Patutkah Saya Membelinya?

Jika anda memerlukan sebuah peranti tablet yang berkuasa untuk melakukan tugasan di luar pejabat, ataupun mahu menaiktarafkan peranti Surface Pro lama anda, Microsoft Surface Pro terbaru ini cukup baik sekali untuk anda.

Jika ada satu amaran yang boleh saya berikan kepada anda, ia adalah anda harus berhati-hati mengenai kos tambahan kepada pemilikan tablet ini. Ini adalah kerana pada harga asal, anda hanya akan menerima tablet Surface Pro tersebut sahaja, dan aksesori-aksesori seperti Type Cover dan Surface Pen dijual secara berasingan pada harga yang cukup mahal.

Bagi mereka yang memiliki tablet Surface sebelum ini, anda boleh menggunakan penutup Type atau Touch Cover sebelum ini sebagai papan kekunci Surface Pro baru ini. Surface Pen sebelum ini juga masih boleh digunakan dengan Surface Pro terbaru, tetapi anda tidak akan dapat menggunakan ciri 4096 tahap tekanan yang hadir pada stylus yang baru.

Jika harga bukan ukuran, terdapat pelbagai spesifikasi dan pakej yang anda boleh lihat di laman web Lazada, yang kami pasti akan memenuhi kehendak dan keperluan anda.

PRO dan Kelebihan
  • Prestasi yang pantas
  • Terdapat model-model nirkipas
  • Bateri yang bertahan lama
  • Penambahbaikan pada rekaan tablet dan aksesori
  • Masih sepadan dengan aksesori lama
KONTRA dan Kekurangan
  • Tanda harga tidak mampu milik
  • Hanya satu port USB
  • Aksesori perlu dibeli secara berasingan, mahal
  • Tidak lengkap tanpa sekurang-kurangnya Type Cover

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd