Sepanjang 2017 : Telefon Pintar Terbaik

Sepanjang 2017 : Telefon Pintar Terbaik

Diterbitkan pada Jan 1, 2018 oleh .

Tahun 2017 melabuhkan tirainya dah ia pada hemat kami ialah tahun yang amat menarik bagi industri peranti pintar. Pelbagai inovasi baru diperkenalkan seperti rekaan nirbingkai 18:9, penggunaan skrin OLED lebih meluas serta sokongan paparan HDR. Terdapat pelbagai peranti yang diulas oleh makmal Amanz.

Setiap satunya mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Berikut ialah senarai peranti-peranti pintar terbaik 2017. Harus kami nyatakan senarai ini mengandungi peranti-peranti yang dijual secara rasmi di Malaysia sahaja.

Peranti Kelas Permulaan Terbaik 2017

Kita mulakan senarai ini dengan peranti kelas permulaan. Ia mungkin tidak digunakan oleh kebanyakan pembaca Amanz tetapi adalah penting bagi mendemokrasikan penggunaan peranti pintar bagi golongan yang berpendapatan rendah. Apa yang kami sedari pada tahun 2017 ialah peranti di dalam kelas ini tidak lagi dilayan seperti anak tiri. Kualiti binaan dan fungsi yang disertakan semakin baik hampir setanding dengan peranti kelas pertengahan. Berikut ialah tiga peranti kelas permulaan terbaik tahun ini

1.Nokia 3

Nokia kembali semula ke dalam arena peranti pintar tahun ini. Kembalinya mereka disambut riang oleh penggemar peranti pintar kerana ramai yang pernah menggunakan Nokia sebagai telefon mudah alih pertama mereka dahulu. Mengapa kami memilih Nokia 3 sebagai peranti kelas permulaan terbaik?

Pertama sekali ialah kualiti binaan yang amat baik mengekalkan tradisi Nokia yang menghasilkan peranti yang berkualiti. Malahan kami merasakan binaan Nokia 3 sebenarnya lebih baik berbanding sesetengah peranti kelas pertengahan dengan harga jualan lebih mahal. Ia turut disahkan akan menerima sokongan kemaskini perisian sehingga Android P. Biasanya kemaskini perisian jarang sekali diberikan kepada peranti Android kelas permulaan apatah lagi sokongan sehingga dua versi Android.  Dengan harga RM 599 ia mungkin agak “mahal” tetapi anda masih lagi berbaloi kerana kesemua kelebihan yang kami senaraikan di atas.

2. Neffos X1 Lite

Neffos bukanlah nama yang besar di dalam dunia peranti pintar. Malahan di Malaysia nama peranti ini hanya dikenali ramai setelah mereka mengambil pelakon jelita Nur Fazura sebagai duta. Neffos X1 Lite ialah salah satu dari hanya tiga peranti yang dilancarkan di Malaysia tahun ini.

Ia berada di tangga kedua kerana menggabungkan rekaan yang agak premium, spesifikasi yang baik, kemampuan kamera yang memuaskan serta mempunyai sokongan pengimbas cap jari. Dua lagi peranti di dalam senarai tiga peranti terbaik kelas permulaan ini tidak dilengkapi pengimbas cap jari. Pada harga jualan RM499, ia memberikan nilai yang baik untuk wang yang dibelanjakan.

3. Xiaomi Redmi 5A

Redmi Note 5A

Senara peranti kelas permulaan tidak akan lengkap tanpa menyertakan satu peranti keluaran Xiaomi. Tahun demi tahun mereka menghasikan telefon pintar yang dijual pada harga yang amat mampu milik. Xiaomi Redmi 5A dijual pada harga RM399 dan ini menjadikannya termurah di dalam senarai ini.

Ia di tangga ketiga kerana binaan yang masih lagi menggunakan plastik dan tiada sokongan pengimbas cap jari. Kelebihan terletak pada saiz kamera yang baik (13-Megapixel di belakang dan 5-Megapixel di hadapan), sokongan pemancar infra-merah dan berfungsi dengan lancar menggunakan MIUI 9.


Peranti Kelas Pertengahan Terbaik 2017

Peranti kelas pertengahan ialah kategori peranti paling popular saban tahun kerana mengimbangi fungsi-fungsi yang disertakan dengan harga jualan yang munasabah. Tahun ini pertarungan peranti kelas pertengahan amat sengit kerana ia turut dilengkapi fungsi peranti utama seperti dwi-kamera dan skrin nirbingkai. Berikut ialah senarai tiga peranti kelas terbaik kelas pertengahan kami.

1. Huawei Nova 2i

Pilihan yang agak sukar tahun ini tetapi selepas melakukan perbincangan dengan sidang redaksi, Huawei Nova 2i dinobatkan sebagai peranti kelas pertengahan terbaik. Kekuatan peranti terletak pada kemampuan kamera belakang dan hadapan yang amat baik di dalam kelasnya. Malahan harus diingatkan peranti ini dilengkapi empat kamera. Fungsi mengambil gambar dengan kesan bokeh boleh dilakukan di hadapan dan belakang tanpa sebarang masalah.

Rakaman video juga amat memuaskan. Ini biasanya kurang memuaskan bagi peranti kelas pertengahan. Nova 2i juga mempunyai binaan yang premium, skrin yang terang, selesa dipegang dan skrin nirbingkai 18:9. Dengan harga jualan RM 1299 ia menawarkan kesemua fungsi yang diperlukan untuk kegunaan sepanjang hari tanpa perlu memiliki sebuah peranti kelas utama.

2. Oppo F5 6GB

Oppo memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2014. Dalam masa tiga tahun sahaja, jenama ini sudah dikenali seluruh pelosok tanah air. Kombinasi pemasaran yang meluas, penajaan yang bijak dan peranti yang baik turut melonjakkan mereka ke tangga ke-empat pengeluar peranti pintar terbesar di dunia.

Oppo F5 6GB meneruskan tradisi Oppo menawarkan peranti dengan kemampuan swafoto yang baik, pemproses yang berkuasa, sistem operasi ColorOS yang lancar dan rekaan yang berjaya menarik minat majoriti pengguna.

3. Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Di tangga ketiga adalah telefon pintar Xiaomi dibawah program Android One, iaitu Xiaomi Mi A1. Ia menawarkan prestasi operasi yang baik, serta sistem operasi yang lancar. Disamping itu, ia turut menawarkan sokongan dwi-kamera, serta binaan yang sangat baik berbanding sejumlah peranti yang lain. Walaubagaimanapun, ia mungkin tidak begitu baik bagi anda yang inginkan sebuah peranti memfokuskan rakaman video.

Di Malaysia, Xiaomi Mi A1 ini ditawarkan pada harga RM999.


Peranti Kelas Tinggi Terbaik 2017

Peranti kelas atasan adalah kategori yang sering menjadi perbualan ramai kerana menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik yang baru dan inovatif, selain digunakan dengan meluas oleh sesuatu jenama dalam mempromosikan penawaran mereka. Pada tahun ini, ia memperlihatkan penawaran peranti kelas atasan bersaing dalam beberapa ciri-ciri menarik yang ditawarkan, termasuk penawaran kamera yang baik, sokongan kalis air, integrasi kecerdasan buatan dan sebagainya. Berikut ialah senarai tiga peranti kelas atasan terbaik pilihan kami.

1. Samsung Galaxy Note 8

Samsung Galaxy Note 8

Telefon pintar keluaran Samsung ini menjadi pilihan sidang redaksi Amanz pada tahun ini. Phablet yang dulunya dikecam ramai kini telah melalui pelbagai fasa kemaskini, dan pada tahun ini Galaxy Note 8 telah diperkenalkan.

Galaxy Note 8 melengkapkan segala penawaran yang diperlukan anda, termasuk sokongan dwi-kamera dengan rakaman yang sangat cantik, sokongan kalis air, bateri yang baik, rekaan nirbingkai, dan penawaran bicu audio. Samsung juga menyertakan pembantu maya Bixby padanya – tetapi secara jujurnya kami jarang menggunakan ia, dan menggunakan Google Assistant sebagai ganti untuknya.

Walaubagaimanapun, salah satu perkara yang mungkin menghentikan anda daripadanya memilihnya adalah harganya, dimana harga jualan rasmi Galaxy Note 8 adalah RM3999.

2. Huawei Mate 10

Huawei Mate 10 Pro

Jenama yang dahulunya diragui ramai kini terus mencatatkan nama dari hari ke hari. Pada 2017, Huawei telah hadir dengan peranti menyasarkan golongan dewasa yang terbaru, iaitu Huawei Mate 10. Hadir dalam dua variasi, tetapi bagi kami, Mate 10 sudah mencukupi untuk penawaran pelbagai perkara, sekiranya anda tidak kisah akan penggunaan skrin 18:9.

Huawei Mate 10 masih mengekalkan sokongan bicu audio, disertakan dengan sokongan kalis air, dan turut hadir dengan cip Kirin 970 yang memfokuskan kepada pemprosesan neural untuk mempercepatkan lagi sokongan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin menggunakan telefon pintar berkenaan. Huawei turut tidak melupakan sokongan rakaman gambar, dan menawarkan kebolehan rakaman yang sangat cantik melalui Mate 10 hasil kerjasama pihak Leica.

Huawei Mate 10 ditawarkan pada harga RM2699, sementara Mate 10 Pro dengan rekaan nirbingkai dan skrin 18:9 ditawarkan pada harga RM3099.

3. HTC U11

Ramai yang kecewa dengan peranti keluaran HTC sejak beberapa tahun ini, tetapi 2017 memperlihatkan mereka berjaya mencuri perhatian peminat mereka melalui HTC U11. Ia menawarkan rekaan yang cantik dan selesa dipegang, dan pada masa yang sama menawarkan pelbagai spesifikasi yang terkini.

Peranti ini tidak menyertakan bicu audio, tetapi sebaliknya menggunakan port USB-C untuk tujuan berkenaan. Selain itu, HTC juga hadir dengan sebuah ciri baru yang membolehkan anda memicit tubuh untuk mengakses kepada beberapa ciri dengan pantas – salah satu ciri yang turut diintegrasikan oleh Google pada peranti Pixel terbaru.

Di Malaysia, HTC U11 ditawarkan pada harga RM3099, dan merupakan antara peranti dengan sokongan audio yang amat baik pernah kami cuba.


Jadi ini adalah antara peranti pilihan kami sepanjang 2017 mengikut kelas-kelas peranti berbeza. Bagi anda sendiri, apakah telefon pintar pilihan anda?


TIPS & ULASAN