Arena nirtunai dijangka akan menjadi fokus ramai pada 2018 ini, dan memulakan langkah berkenaan pada tahun baru, kini Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi antara kampus terawal untuk ke arah transaksi nirtunai.
Sokongan dompet digital dan transaksi nirtunai ini telah dilancarkan di tiga kampus UniSZA, iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan juga Kampus Perubatan di Kuala Terenganu.
Daripada pengamatan kami, ia menggunakan aplikasi Boost untuk tujuan berkenaan. Pengguna boleh menambah-nilai pada aplikasi Boost, dan seterusnya untuk transaksi, anda hanya perlu mengimbas kod QR di sesuatu kedai, dan melakukan bayaran terus menggunakan peranti mudah-alih anda.
Langkah ini sekaligus membolehkan pengguna mengawal perbelanjaan, dan pada masa yang sama tidak perlu risau membawa wang tunai ketika ke kelas dan sebagainya.
Bagi anda yang berada di UniSZA, anda boleh mula mengalami kehidupan nirtunai dan penggunaan dompet digital di kampus anda hari ini.