Carian
Butiran Lanjut Mengenai CPU Kerjasama Intel Dan AMD Ditunjukkan – Hadir Dengan Dua Cip Grafik
January 2, 2018 Nazrin

Minggu lepas, beberapa butiran menarik mengenai CPU kerjasama Intel dan AMD telahpun tertiris, dan CPU tersebut, yang kini disahkan dinamakan Intel Core i7-8809G hadir dengan lebih banyak lagi spesifikasi yang cukup menarik.

Butiran-butiran yang tertiris sebelum ini, termasuklah kelajuan CPU asas 3.1GHz dengan Turbo Boost 3.9GHz, cache L3 sebesar 8MB dan penggunaan GPU RX Vega M semuanya disahkan tepat, tetapi terdapat beberapa butiran yang tidak ditunjuk sebelum ini.

Salah satu daripada butiran ini ialah penggunaan CPU Intel HD Graphics 630 yang digunakan disamping cip pemproses grafik RX Vega M. Menurut laporan, kemungkinan besar bahawa kad grafik Vega M akan diaktifkan hanya apabila ianya diperlukan.

Satu lagi butiran mengenai CPU Intel Core i7-8809G ini ialah ia mempunyai TDP (Total Drawn Power) sebanyak 100W, dan ini cukup menarik kerana ia termasuk dengan penggunaan GPU RX Vega M tersebut juga.

Berdasarakan spesifikasi diatas kertas sahaja, CPU Intel Core i7-8809G ini cukup bagus untuk kegunaan PC berskala kecil, termasuklah laptop-laptop dan juga unit NUC (Next Unit of Computing) yang dipopularkan oleh Intel.

Komen