Acara CES 2018 bakal bermula pada minggu depan, dan kini semakin banyak berita tertiris mengenai perkakasan-perkakasan komputer baru, dan terkini, nampaknya Lenovo bakal hadir dengan laptop-laptop Lenovo ThinkPad yang baru.
Di acara tersebut pada minggu depan, Lenovo dilihat akan mengumumkan kehadiran laptop-laptop dari siri ThinkPad X, T dan juga L untuk pelbagai jenis pengguna, dari mereka yang memerlukan komputer riba berkuasa tinggi, hinggalah mereka yang hanya memerlukan sesuatu untuk melakukan tugas-tugas harian yang biasa.
Bermula dengan ThinkPad X, Lenovo akan mengumumkan kehadiran laptop ThinkPad X280 dan juga X380 Yoga. Kedua-dua model ini, malah kesemua laptop-laptop yang akan diumumkan di acara CES minggu depan akan hadir dengan CPU Intel generasi ke-8 Coffee Lake.
ThinkPad X280 akan hadir dengan rekaan 15 hingga 20 peratus lebih nipis dan ringan daripada model-model sebelum ini, manakala ThinkPad X380 Yoga pula mempunyai teknologi kamera dengan fungsi infra merah dan daya ketahanan bateri setinggi 13.5 jam beserta sokongan pena stylus Active Pen.
Siri ThinkPad T pula bakal hadir dengan laptop ThinkPad T580, T480s dan juga T480 bagi mereka yang inginkan laptop dengan rekaan biasa, tetapi prestasi yang berkuasa.
ThinkPad T580 hadir dengan pilihan yang cukup menarik, seperti paparan skrin 4K dan juga kad grafik khusus, manakala ThinkPad T480s pula dikatakan salah sebuah laptop yang paling ringan didalam siri ini pada berat 1.3kg sahaja. Jika anda perlukan jangka-hayat bateri yang cukup panjang, anda boleh membeli aksesori bateri luaran yang akan memanjangkan jangka-hayat bateri laptop-laptop ini kepada 27 jam.
Siri ThinkPad L pula hadir dengan empat buah laptop baru, iaitu ThinkPad L380 Yoga, ThinkPad L380, L480 dan juga ThinkPad L580. Siri ThinkPad L ini cukup istimewa kerana ia hadir didalam beberapa faktor binaan, termasuklah 13, 14 dan 15 inci, dan anda juga boleh mendapatkan laptop-laptop ini dengan paparan skrin sesentuh, dan juga kad grafik khusus dari AMD, jika anda memerlukannya.
Kesemua laptop-laptop Lenovo ThinkPad ini akan diumumkan di acara CES 2018 minggu depan, dan menurut Lenovo lagi, kebanyakan laptop-laptop ini akan hadir di pasaran Amerika pada penghujung bulan Januari dan awal bulan Februari kelak.