Acara CES 2018 berlangsung pada minggu ini dan akan menyaksikan sejumlah peranti baru diperkenalkan meliputi komputer riba, televisyen dan sebagainya. Turut menyertai acara tahunan berkenaan adalah Samsung, dimana kini mereka telah mengumumkan Samsung Notebook 7 Spin (2018).
Samsung Notebook 7 Spin (2018) ini menawarkan kebolehan untuk anda memutarkan skrin padanya 360-darjah, sekaligus mengubah ia daripada sebuah komputer riba kepada sebuah tablet. Komputer ini juga turut menyokong input Active Pen bagi memudahkan anda melakar dan sebagainya terus pada skrin – tetapi anda perlu membeli aksesori tambahan ini secara berasingan.
Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan skrin 13.3-inci HD penuh, menggunakan cip Intel Core i5 generasi ke-8, memori 8GB RAM dan storan 256GB. Ia turut menyertakan sokongan pengimbas cap jari untuk Windows Hello, selain dilengkapi port USB-C, HDMI, dan sebagainya.
Melengkapkan ia juga adalah sokongan input berasaskan suara untuk menyimpan nota – yang mana turut boleh dikongsikan terus melalui Samsung Cloud. Dan pada masa yang sama Samsung turut menyertakan perisian Studio Plus untuk membolehkan anda menghasilkan video ringkas menggunakan gambar dan video anda.
Samsung Notebook 7 Spin (2018) ini hanya akan ditawarkan di beberapa buah negara sahaja. Memandangka Samsung tidak lagi menawarkan komputer riba mereka di Malaysia, maka kebarangkalian untuk melihatnya dilancarkan di Malaysia adalah sangat tipis.