Carian
CPU Kerjasama Intel Dan AMD Diumumkan Secara Rasmi – Gabungan CPU Generasi Ke-8 Dan GPU AMD RX Vega M
January 8, 2018 Nazrin

Salah satu berita terhangat yang hadir pada penghujung tahun lepas ialah berita mengenai kerjasama AMD dan Intel untuk merekacipta sebuah SoC gabungan teknologi pemprosesan komputer Intel dan teknologi pemprosesan grafik AMD.

Intel akhirnya telahpun mengeluarkan butiran khusus mengenai siri CPU terbaru ini, yang hadir dengan model Intel Core i5 hinggalah ke Intel Core i7, dan ia hadir dengan spesifikasi yang cukup menarik sekali.

Pertama sekali, kesemua CPU-CPU terbaru ini, dari Intel Core i5-8305G hinggalah ke Intel Core i7-8809G semuanya hadir dengan empat teras dan lapan bebenang kuasa. Ini cukup menarik kerana sebelum ini, hanya CPU Intel Core i7 sahaja yang hadir dengan teknologi multi-threading.

 

Lebih menarik lagi ialah tiga daripada CPU-CPU ini, termasuklah Intel Core i5-8305G, Intel Core i7-8705G dan Intel Core i7-8706G semuanya hadir dengan GPU AMD RX Vega M GL, iaitu cip pemprosesan grafik berdasarkan RX Vega yang dibina khusus untuk penggunaan dalam komputer riba. Menurut Intel, gabungan ini dilihat 1.4 kali lebih berkuasa daripada laptop yang menggunakan CPU Intel Kaby Lake dan juga kad grafik NVIDIA GTX 1050.

Dua lagi CPU yang hadir didalam siri ini, iaitu Intel Core i7-8709G dan juga Intel Core i7-8809G dilihat menggunakan GPU AMD RX Vega M GH, dan penggunaan CPU ini dilihat untuk komputer-komputer kecil dan All-in-One yang padat. Intel berkata komputer yang menggunakan CPU ini dilihat mempunyai prestasi 10 peratus lebih baik daripada komputer yang menggunakan CPU Intel Kaby Lake dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060.

Dari segi butiran grafik. GPU Vega M ini hadir dengan memori HBM2 sebanyak 4GB, sokongan untuk HDMI 2.0, DisplayPort 1.4, dan sambungan kepada 6 paparan skrin, dan juga kebolehan untuk menyokong paparan beresolusi 4K.

Buat masa ini, pihak Intel berkata bahawa peranti-peranti dengan CPU Intel yang terbaru ini akan hadir di pasaran dunia pada pertengahan tahun ini. Diantara jenama-jenama komputer yang dilihat bakal hadir dengan peranti yang akan menggunakan CPU ini ialah Dell, HP dan sebagainya.

Komen