Komputer Padat Intel NUC Terbaru Peranti Pertama Hadir Dengan CPU Intel Core i7-8809G
AMD

Komputer Padat Intel NUC Terbaru Peranti Pertama Hadir Dengan CPU Intel Core i7-8809G

Diterbitkan pada Jan 8, 2018 oleh .

Intel baru sahaja memperkenalkan siri CPU Intel generasi ke-8 terbaru dengan kerjasama AMD di acara CES 2018, dan terkini nampaknya Intel telahpun memperkenalkan komputer padat NUC (Next Unit of Computing) terbaru mereka yang hadir dengan cip pemprosesan tersebut.

NUC ini, yang dinamakan Hades Canyon hadir dengan dua model, Intel NUC8i7HVK dan juga NUC8i7HNK yang hadir dengan dua CPU yang berbeza. Model Intel NUC8i7HVK hadir dengan CPU Intel Core i7-8809G yang mempunyai GPU AMD RX Vega M GH, manakala model Intel NUC8i7HNK pula hadir dengan GPU AMD RX Vega M GL.

Dari segi spesifikasi lain-lain, NUC ini hadir dengan dua slot M.2 untuk storan SSD dan slot RAM DDR4. Oleh kerana sistem NUC ini hanyalah rangka PC yang hadir dengan CPU dan bongkah kuasa. Storan SSD dan memori RAM harus dibeli secara berasingan.

Untuk I/O pula, NUC ini hadir dengan empat port USB 3.0, dua port USB 3.1 Type-C, dua port LAN, dua port DisplayPort dan sebuah port HDMI, yang menyokong peranti realiti maya di bahagian belakang. Di bahagian depan, terdapat sepasang port USB 3,0, sebuah port HDMI, satu port USB 3.1 Type-C dan pembaca kad SD.

Buat masa ini, harga komputer padat NUC ini masih belum diumumkan, tetapi pihak Intel telahpun menyatakan bahawa ia akan hadir di pasaran pada pertengahan tahun ini.


TIPS & ULASAN