Amazon merupakan salah satu syarikat yang tidak asing lagi dalam arena e-dagang. Mereka mempunyai sejumlah teknologi menarik dibawah mereka, dan terkini Amazon dilihat turut mempatenkan sebuah cermin AR yang akan membolehkan anda mencuba pakaian secara maya.
Cermin ini dilihat sebagai penambahan dan versi yang generasi kehadapan untuk Amazon Echo Look.
Melalui apa yang dipatenkan, cermin ini akan menggunakan sejumlah kamera dan projektor dalam membolehkan ia menambah beberapa lapisan maya ke atas imej anda, sekaligus memberikan paparan masa-nyata ketika anda mencuba pakaian dan sebagainya.
Cermin berkenaan juga dijangka boleh mengintegrasikan gambar latar untuk sesetengah lokasi – seperti ditepi pantai dan sebagainya, sekaligus memudahkan lagi anda memilih pakaian yang sesuai untuk anda.
Buat masa ini, ia sekadar pemfailan paten sahaja, dan tidak diketahui bilakah akan direalisasikan. Sekiranya direalisasikan juga, ia berkemungkinan lebih ditujukan kepada penggunaan di kedai berbanding dipasarkan kepada pengguna umum.