AMD Mengumumkan Kehadiran CPU Ryzen Pro Dan Ryzen 3 Mobile Dengan GPU Radeon Vega Terbina
AMD

AMD Mengumumkan Kehadiran CPU Ryzen Pro Dan Ryzen 3 Mobile Dengan GPU Radeon Vega Terbina

Diterbitkan pada Jan 8, 2018 oleh .

Siri CPU AMD Ryzen merupakan salah satu komponen komputer yang terbaik pada tahun 2017 yang memberikan pihak Intel persaingan yang sengit di pasaran CPU dunia.

Pada penghujung tahun lepas, AMD hadir dengan dua lagi cip pemprosesan komputer baru berdasarkan AMD Ryzen, iaitu AMD Ryzen Pro dengan ciri-ciri keselamatan tambahan, dan juga AMD Ryzen Mobile, iaitu APU (Accelerated Processing Unit) untuk peranti laptop dan juga komputer berkuasa rendah.

Sempena acara Consumer Electronics Show, AMD mengumumkan siri APU Ryzen 3 Mobile, bersama-sama dengan AMD Ryzen Pro Mobile yang hadir dengan iGPU AMD Radeon Vega yang terbina didalamnya.

Ryzen 3 Mobile merupakan lanjutan kepada siri APU AMD Ryzen 7 dan 5 Mobile yang diumumkan sebelum ini, untuk kegunaan laptop nipis dan ringan, manakala siri APU Ryzen Pro Mobile pula merupakan implementasi APU khusus untuk sektor perusahaan dan sebagainya.

Dari siri APU AMD Ryzen 3 Mobile, AMD mengumumkan dua model APU, termasuklah AMD Ryzen 3 2200U dan AMD Ryzen 3 2300U yang hadir pada kelajuan 3.4GHz. Perbezaan diantara kedua-dua APU ini hadir melalui kelajuan GPU cache L2/L3 dan juga jumlah teras dan bebenang yang terdapat pada kedua-dua APU ini.

Siri CPU Ryzen Pro Mobile pula hadir dengan tiga model, termasuklah AMD Ryzen 7 Pro 2700U, AMD Ryzen 5 Pro 2500U dan AMD Ryzen 3 Pro 2300U. Kedua-dua CPU Ryzen 7 Pro 2700U dan Ryzen 5 Pro 2500U mempunyai empat teras dan lapan bebenang kuasa, manakala Ryzen 3 Pro 2300U mempunyai 4 teras dan 4 bebenang kuasa.

Apa yang menarik disini ialah kesemua CPU-CPU ini hadir dengan teknologi GPU Radeon Vega juga, dan kesemua CPU-CPU didalam siri Ryzen Pro ini juga hadir dengan teknologi penyulitan yang cukup berkuasa sekali.

APU AMD Ryzen 3 Mobile dikatakan akan digunakan oleh pembuat-pembuat laptop bermula suku pertama 2018, manakala laptop-laptop yang akan hadir menggunakan APU AMD Ryzen Pro Mobile akan hadir di pasaran pada suku kedua 2018.


TIPS & ULASAN