Dengan pelbagai pengeluar menyediakan dok grafik luaran untuk digunakan bersama komputer riba atau desktop, kini pihak Lenovo turut tidak ingin ketinggalan. Pada CES 2018 hari ini, mereka telah memperkenalkan Lenovo Thunderbolt 3 Graphics Dock yang hadir bersama kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050.
Melalui penawaran dok grafik luaran ini, pengguna boleh menghubungkan ia bersama komputer riba anda, dan menikmati permainan pada grafik asas dengan mudah. Lenovo dilihat lebih memfokuskan penawaran ini untuk digunakan bersama Windows Mixed Reality. Ia agak mendukacitakan kerana kad grafik hadir terbina, dan tidak membolehkan pengguna menaik-tarafnya.
Lenovo dijangka menawarkan ia pada harga $399 (~RM1596) bermula dari pasaran Amerika Syarikat. Penawaran ini mungkin bagi anda yang sedia mempunyai komputer riba, tetapi hanya inginkan kuasa grafik tambahan untuk beberapa tugasan khusus atau ingin menikmati permainan pada grafik rendah melaluinya.