Salah satu telefon pintar yang dinantikan pada tahun 2018 ini adalah telefon dengan skrin boleh-lipat daripada Samsung, yang mana diperkatakan ramai sebagai “Galaxy X”. Sebelum ini, ia disasarkan mungkin diperkenalkan pada awal 2018, namun kini nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan.
Bercakap mengenainya, pihak Samsung mengatakan ia agak sukar untuk bercakap mengenai tarikh pelancarannya buat masa ini.
Samsung dilihat ingin memastikan penawaran mereka dapat mencuri perhatian ramai pengguna, dan benar-benar mengelakkan sebarang reaksi kurang baik untuk peranti pertama dengan skrin boleh-lipat berkenaan.
Pada masa yang sama, laporan daripada ET News mengatakan Samsung menyasarkan untuk membuat pengeluaran sekitar November 2018 dan memasarkannya sekitar Disember atau pada awal 2019 kelak.
Menurut laporan sama, Samsung dijangka menggunakan skrin OLED bersaiz 7.3-inci yang boleh-dilipat. Dengan skrin bersaiz besar ini, ia dijangka membolehkan pengguna menggunakannya sebagai tablet apabila dibuka, atau sebagai telefon bila dilipat.
Kita mungkin akan mendengar lanjut mengenai “Galaxy X” ini dalam bulan-bulan akan datang, apatah lagi dengan pelancaran Galaxy S9 yang semakin hampir.