Carian
HTC
Pandang Pertama HTC U11+ – Peranti Skrin Nirbingkai 18:9 Pertama HTC
January 11, 2018 Effi Saharudin

HTC U11+ akhirnya memasuki pasaran Malaysia selepas dua bulan dilancarkan di Taiwan. Peranti kemaskini kepada U11 ini membawakan beberapa perubahan dari segi rekaan. Pertama sekali ialah ia akhirnya menggunakan rekaan nirbingkai dengan nisbah 18:9 serta HDR. Pengimbas cap jari diubah ke belakang dan penggunaan butang navigasi di atas skrin.

HTC U11 ialah antara tiga peranti Android terbaik di laman Amanz. Maka adakah U11+ sebuah peranti yang berbaloi dimiliki? Ini ialah pandang pertama kami untuk HTC U11+.

Spesifikasi

HTC U11+
Skrin 6.0″ QHD+ SLCD6 (538 PPI)
Pemproses 2.45 x 4 + 1.9 x 4 GHz Snapdragon 835
Cip Grafik Adreno 540
RAM 6 Gigabyte
Storan 128 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB)
Kamera Utama 12 Megapixel, f/1.7, OIS, PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel, f/2.0
Bateri 3930 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Sistem Imbasan Cap Jari
Harga Jualan RM 3099

Seperti yang kami tulis di perenggan di atas. HTC U11+ ialah peranti kemaskini kecil kepada HTC U11. Ini ialah taktik yang sama seperti yang dilakukan oleh OnePlus dengan 5 dan 5T.

Skrin 6″ QHD+ SLCD6 digunakan pada U11+. Ia kini bukan sahaja mempunyai nisbah 18:9, malah menyokong paparan HDR 10. Ini ialah peningkatan dari skrin 5.5″ QHD SLCD5 yang ditemui pada U11. Apabila diletakkan secara sebelah menyebelah, paparan pada U11+ nampak lebih bermaya. Malah pada tetapan keterangan tertinggi skrin U11+ jauh lebih terang. Namun pada hemat kami skrin LCD kini sudah agak ketinggalan untuk digunakan kerana tidak setanding dengan OLED yang sudah digunakan secara meluas.

Skrin ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 6GB RAM dan storan 128GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 2TB disokong. Ini ialah sama seperti HTC U11. Seperti pada U11 slot SIM nano perlu dikorbankan bagi menggunakan kad MikroSD.

Kamera utama sebesar 12-Megapixel f/1.7 dengan sokongan OIS digunakan pada bahagian belakang. Kamera swafoto pula sebesar 8-Megapixel f/2.0. Sekali lagi tiada perubahan spesifikasi dilakukan oleh HTC disini. Perbezaan kesemuanya terletak pada perisian. HTC U11+ boleh merakam gambar pada nisbah 18:9 pada tetapan 8-Megapixel. Ini adalah fungsi yang sama seperti yang boleh ditemui pada Samsung Galaxy Note 8 dan LG V30.

Kerana penggunaan skrin yang lebih besar dan terang, bateri sebesar 3930 mAh disertakan. Ini ialah peningkatan saiz yang besar berbanding hanya 3000 mAh pada U11. Sistem pengecasan pantas QuickCharge 3.0 disokong melalui port pengecasan USB-C.

Rekabentuk

Penggunaan skrin 18:9 menyebabkan HTC U11+ sedikit lebih panjang berbanding U11. Perbezaan saiz hanyalah sebesar 5 mm.

Tiga butang navigasi atas skrin terletak pada bahagian bawah skrin. Pihak HTC membenarkan sehingga lima butang diletakkan pada talam navigasi. Kedudukan kesemua butang ini boleh disusun mengikut kehendak pengguna.

Pada sisi kanan terdapat butang suara dan kuasa. Butang kuasa mempunyai permukaan yang lebih kasar berbanding butang suara bagi memudahkan jari membezakannya di dalam keadaan gelap.

Tiada sebarang butang pada sisi kiri. Talam dwi-SIM bersaiz nano terletak pada bahagian atas. Ia dari jenis hibrid dan hanya satu SIM boleh dimasukkan jika pengguna menggunakan kad MikroSD. Seperti pada U11, talam perlu dicucuk dengan jarum untuk keluarkan.

Pada bahagian bawah terdapat satu port pengecasan USB-C dan pembesar suara. Tiada bicu audio disertakan pada U11+. Sistem audio stereo BoomSound disertakan dengan satu pembesar suara di bahagian bawah dan satu lagi pada gagang telinga. Menurut HTC, pembesar suara BoomSound U11+ adalah 30% lebih lantang berbanding U11.

Fon telinga U-Sonic berkepala USB-C disertakan dengan setiap pembelian. Fon telinga ini hadir dengan sistem Active Noise Cancelling. Bagi yang masih memerlukan bicu audio, penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5 mm juga disertakan dengan setiap pembelian.

Keseluruhan permukaan panel belakang diperbuat daripada kaca lutsinar. Komponen NFC dan bateri dapat dilihat dengan jelas. Ini menjadikan U11+ antara peranti dengan rekaan tubuh yang paling unik di pasaran. Hanya model Transluscent Black ini akan ditawarkan di Malaysia. Kerana ia diperbuat daripada kaca, tidak mengejutkan ia memerangkap kotoran dengan cukup mudah. Bagi mengelakkan kerosakan, sebuah kerangka plastik akan diberikan dengan setiap pembelian.

Secara keseluruhan HTC U11+ ialah sebuah peranti yang seksi kerana panel belakang yang lutsinar. Sisi dan panel belakang yang dibulatkan membuatkan ia selesa dipegang tetapi pada waktu yang sama licin untuk dipegang. Penggunaan skrin 18:9 tidak membawakan perubahan fizikal yang besar berbanding U11 kerana bahagian dagu serta dahi yang kini nipis. Rekaan yang cantik ini masih lagi mengekalkan kemampuan kalis air IP68. Ini pada hemat kami ialah fungsi yang harus menjadi standard pada peranti-peranti utama

Antaramuka

Sistem operasi Android 8.0 digunakan dengan pelancar HTC Sense. Kustomasi pada pelancar ini adalah minimal dan sebenarnya masih mengekalkan majoriti antaramuka Android Asli. Sedikit aneh ialah masih terdapat butang untuk talam aplikasi. Ini pada hemat kami tidak diperlukan kerana U11+ membenarkan talam aplikasi dibuka dengan menatal ke atas dari tengah skrin. Ini ialah fungsi yang ditemui pada pelancar Pixel.

Kerana penggunaan pelancar yang seakan Android Asli, peranti berfungsi dengan lancar serta pantas. Aplikasi dibuka hampir serta merta. Penggunaan pemproses yang berkuasa serta saiz RAM yang besar memastikan lagi kelancaran peranti ini. Sungguhpun kelihatan hampir stock, HTC masih menyertakan beberapa fungsi tambahan bagi membuatkan peranti berbaloi untuk dimiliki. Jumlah fungsi dan aplikasi terpasang masih lagi kecil jadi tiada masalah aplikasi gendut pada peranti ini.

Edge Sense – Tubuh peranti boleh dipicit bagi melancarkan aplikasi seperti Googla Assistant atau kamera.

Edge Launcher – Seperti Edge Sense tetapi memberikan lebih banyak lagi pilihan seperti pintas pantas kepada tetapan peranti dan aplikasi.

HTC Sense Companion – Sistem kecerdasan buatan yang memberikan saranan mengenai waktu tidur, bila perlu memulakan perjalanan dan mengesan tahap kesihatan pengguna.

HTC U-Sonic – Fungsi automatik yang menala bunyi mengikut telinga pengguna.

Motion Launch – Sokongan gesture pada skrin seperti dwi-tap untuk menghidupkan skrin.

Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Zoe Video Editor – Aplikasi yang membolehkan video disunting terus dari peranti.

Kesimpulan

HTC U11 pada hemat kami ialah antara tiga peranti Android terbaik tahun 2017. Kelemahan pada U11 ialah rekaannya yang sudah dianggap ketinggalan zaman dengan bahagian dagu serta dahi yang besar. Dengan HTC U11+, HTC menghasilkan peranti kemaskini yang lebih mengikut kehendak pasaran semasa. Rekaan skrin 18:9 nirbingkai ini bukan sahaja lebih moden tetapi turut akhirnya menyokong sistem HDR 10. Sekilas pandang dapat dilihat skrin U11+ yang lebih terang pada tetapan paling tinggi. Walaupun skrin U11+ lebih besar dan panjang, peranti ini hanya 5 mm lebih panjang berbanding U11.

Peranti masih mengekalkan rekaan Liquid Glass dengan panel belakang yang lutsinar. Ini membuatkannya kelihatan amat seksi berbanding peranti lain di pasaran. Tetapi ia masih mengekalkan masalah dimana ia memerangkap kotoran dengan terlalu mudah. Berita baik di sini ialah HTC memberikan sebuah kerangka lutsinar yang mengurangkan risiko kerosakan serta kotoran.

Tidak bayak perubahan besar dilakukan dari segi spesifikasi dalaman. Pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 6GB RAM dan storan 128GB memastikan pengguna tidak perlu risau dengan kemampuan peranti ini. Ia berfungsi dengan cukup pantas dan lancar.

Kamera hadapan kini hanya 8-Megapixel berbanding 16-Megapixel pada U11. Tetapi bateri kini jauh lebih besar iaitu 3930 mAh berbanding 3000 mAh. Ini pastinya akan mengurangkan risiko peranti tidak mampu bertahan sepanjang hari.

Dari penggunaan selama beberapa jam, peranti ini tidak banyak bezanya dengan HTC U11. Ia masih selesa dipegang dengan sebelah tangan. Dengan harga jualan RM3099, ia adalah setanding dengan harga jualan asal HTC U11. Ini adalah harga yang kompetitif untuk spesifikasi yang ditawarkan.

Komen