LG Mungkin Tidak Mengeluarkan Telefon Utama Baru Setiap Tahun
LG

LG Mungkin Tidak Mengeluarkan Telefon Utama Baru Setiap Tahun

Diterbitkan pada Jan 12, 2018 oleh .

Menjadi kebiasaan untuk semua pengeluar telefon pintar bagi memperkenalkan model peranti utama mereka pada setiap tahun. LG Mobile yang dilihat mengalami kerugian sejak kebelakangan ini dilihat ingin mengubah perkara berkenaan dan mungkin tidak mengeluarkan telefon utama baru pada setiap tahun.

Melalui kenyataan kepada Korea Herald, LG dipetik mengatakan mereka tidak lagi akan mengeluarkan telefon pintar mengikut latar masa yang tetap seperti tahun-tahun sebelum ini. Langkah ini secara tidak langsung akan mengurangkan kesukaran yang dialami oleh perniagaan telefon pintar LG.

Sebelum ini, menjadi kebiasaan untuk LG memperkenalkan siri G pada suku pertama tahun, dan siri V pada suku ketiga tahun. Dengan perubahan ini, ia sekaligus mengubah latar masa pengenalan peranti berkenaan.

LG mengatakan mereka merancang untuk mengekalkan sesuatu model peranti untuk tempoh yang lebih lama, dan berkemungkinan memperkenalkan beberapa variasi dibawah siri sama.

Dengan pengumuman baru ini, berkemungkinan kita akan melihat LG G7 diperkenalkan sedikit lewat – dan bukannya seperti sebelum ini pada MWC sekitar penghujung Februari.


TIPS & ULASAN