Cari @ Amanz

HTC hari ini secara rasminya telah pun memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu HTC U11 Eyes. Ia hadir dengan fokus pada dwi-kamera di hadapan yang menyertakan beberapa ciri menarik bersama-sama dengannya.

HTC U11 Eyes hadir dengan skrin bersaiz 6-inci pada nisbah skrin 18:9, cip Snapdragon 652, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB.

HTC U11 Eyes

Menjadi fokus utama adalah sokongan dwi-kamera pada bahagian hadapan yang menggunakan kamera 5-megapixel dengan sokongan HDR. HTC membolehkan pengguna merakamkan gambar menggunakan sokongan bokeh melaluinya, selain pada masa yang sama menyertakan sokongan mod Beauty secara masa-nyata.

HTC turut menyertakan sokongan Face Unlock bagi memudahkan anda mengakses peranti dengan pantas. Pengimbas cap jari turut disertakan pada bahagian belakang dibawah kamera sebagai sokongan alternatif.

HTC U11 Eyes

Untuk kamera belakang, ia menggunakan kamera belakang 12-megapixel f/1.7 dengan sokongan rakaman video 4K, dan rakaman gerak perlahan 1080p @ 120fps.

Seperti HTC U11 sebelum ini, HTC U11 Eyes ini turut hadir dengan sokongan Edge Sense yang membolehkan anda “memicit” bingkai untuk mengakses beberapa perkara dengan pantas.

HTC U11 Eyes menyertakan bateri 3930mAh, dan dilengkapi sokongan kalis air.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah HTC akan melancarkan telefon pintar ini di Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd