Sejak tahun baru 2018 ini, salah satu topik yang hangat dibincangkan oleh pelbagai pengeluar cip pemprosesan, pembangun pelayar web, pembangun sistem operasi dan pengeluar komputer adalah mengenai kerentanan sekuriti yang dibawakan oleh masalah cip – dinamakan Spectre & Meltdown.
Ia memberikan kesan kepada sejumlah besar komputer moden menjalankan cip Intel, selain turut memberikan kesan kepada pengguna peranti cip AMD dan ARM.
Sebelum ini, kami telah berkongsi mengenai salah satu kaedah mudah untuk menyemak sama ada pelayar web anda terkesan dengan masalah sekuriti Spectre atau sebaliknya. Pada kali ini, kami berkongsi sebuah perisian baru yang memudahkan anda menyemak sama ada komputer anda terkesan dengan kedua-dua masalah sekuriti ini atau sebaliknya.
Disediakan oleh pembangun perisian popular Ashampoo, perisian ini dinamakan sebagai Ashampoo Spectre Meltdown CPU Checker.
Perisian ini ditujukan untuk pengguna Windows 7 dan terkini. Ia akan melakukan semakan ringkas sama ada cip pemprosesan dan komputer anda terkesan atau sebaliknya.
Perisian ini sekadar menyediakan info tersebut sahaja, dan tidak menawarkan kemudahan mengemaskini atau sebaliknya. Anda masih perlu menyemak kemaskini daripada Microsoft dan pengeluar komputer anda secara manual selepas melakukan ujian ringkas sama ada komputer anda terjejas atau sebaliknya ini.
- Muat-Turun Ashampoo Spectre Meltdown CPU Checker