Cari @ Amanz

Senario buruk yang sering ditemui di dalam karya fiksyen sains ialah manusia mengalami kepupusan selepas dimusnahkan oleh kecerdasan buatan. Buat masa ini kita masih boleh menghela nafas lega kerana kecerdasan buatan masih belum mempunyai nafsu membunuh. Tetapi sedikit demi sedikit tugas yang dahulunya dilakukan manusia kini digantikan oleh program yang pintar.

Terkini kecerdasan buatan yang dihasilkan oleh Ali Baba dan Microsoft telah berjaya mengalahkan manusia dalam ujian pemahaman membaca. Rangkaian neural Ali Baba mencatatkan 82.44 markah di dalam ujian yang dilakukan pada 11 Januari. Ini adalah lebih tinggi berbanding 82.304 markah yang dicatatkan oleh manusia. Sehari selepas itu perisian kecerdasan buatan Microsoft berjaya mencatatkan 82.650 markah.

Apakah ujian pemahaman bacaan yang diambil? Perisian kecerdasan buatan mungkin disuruh membaca sejarah kemerdekaan Malaysia. Ia kemudian akan diberikan soalan seperti “Siapakah Bapa Kemerdekaan Malaya”. Kecerdasan buatan kemudian akan memberikan jawapan “Tunku Abdul Rahman”.

Impak ujian ini adalah besar. Di masa hadapan tugasan membaca label di kilang, gudang, dokumen pejabat dan artikel berita akan diambil alih oleh kecerdasan buatan sekaligus memupuskan ruang pekerjaan manusia. Pihak Ali Baba sendiri telah menggunakan kecerdasan buatan ini untuk menjawab soalan pelanggan sempena Singles Day tempo hari.

Dengan kecerdasan buatan yang semakin pintar, ia tidak lagi akan macam daun terap bunyinya degah-deguh, degah-deguh jatuh ke bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd