Kegilaan menggunakan rekaan nirbingkai menyebabkan bahagian dagu dan dahi telefon pintar menjadi semakin kecil. Penggunaan skrin 100% di bahagian hadapan masih lagi mustahil kerana keperluan meletakkan sensor, kamera dan gagang telinga. Oleh itu ada pengeluar menggunakan takuk seperti iPhone X atau kamera di bahagian dagu seperti pada Mi Mix. Samsung cuba menyelesaikan masalah ini dengan meletakkan kamera di belakang skrin peranti.
Sebuah paten yang difailkan oleh mereka menunjukkan kamera, sensor dan gagang telinga di belakang skrin peranti. Paten ini telah difailkan pada tahun 2016 dan masih menunjukkan penggunaan butang home fizikal di bahagian hadapan. Hanya beberapa minggu yang lalu pengimbas cap jari terbina pada skrin telah diperlihatkan oleh Vivo. Mungkin di masa hadapan impian peranti 100% skrin di bahagian hadapan akan menjadi realiti.