Cari @ Amanz

Dibawah gergasi teknologi Alibaba, terdapat banyak anak syarikat teknologi yang mereka miliki dan menyediakan produk atau solusi berlainan. Salah satunya adalah DingTalk yang menawarkan solusi digital untuk syarikat.

Pada minggu lepas aplikasi ini diumumkan sudah tersedia untuk dimuat-turun untuk kegunaan pasaran tempatan. Dan hari ini pihak DingTalk sendiri hadir ke Malaysia bagi mendemonstrasikan aplikasi ini.

Berbeza dengan aplikasi atau perisian pengurusan syarikat yang lain yang memerlukan pengguna menaiktaraf akses akaun dan perlu membayarnya, terdapat sejumlah fungsi yang dibangunkan DingTalk secara percuma.

Salah satunya adalah fungsi merekod kehadiran dalam aplikasi ini. Pekerja syarikat boleh menandakan kehadiran mereka sekiranya mereka berada dalam lingkungan pejabat. Pekerja juga boleh melakukan pelbagai jenis permohonan, merangkumi cuti, pengesahan kontrak, pinjaman barangan, penamatan perkhidmatan dan pelbagai lagi.

Selain dari itu, terdapat juga perkhidmatan storan awan DingTalk yang menawarkan 100GB percuma untuk syarikat/organisasi menggunakannya dan terhad kepada 2GB kapasiti untuk setiap ahli syarikat. Terdapat juga fungsi kalendar dan emel yang diintegrasikan terus kepada aplikasi, membuatkan komunikasi dalam syarikat lebih mudah.

Selain dari itu, mereka turut menjual peralatan komunikasi pejabat. Aksesori seperti penyambut tetamu pintar (Smart Receptionist) yang mampu mengimbas wajah pekerja dan menandakan kehadiran mereka, dan juga aksesori pejabat lain yang mempunyai integrasi pintar dengan DingTalk.

Perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma ini kini tersedia untuk pasaran tempatan, dan boleh dimuat-turun pada platform iOS & Android.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd