Sebelum ini kita telah mendengar desas-desus mengatakan Snapchat akan membolehkan pengguna untuk berkongsi Snapchat Stories di web, dan tidak lagi terhad untuk dikongsikan di aplikasi Snapchat semata-mata.
Dengan ciri ini, apabila anda menerbitkan sesuatu Snapchat Stories, anda akan diberikan pautan untuk dikongsikan melalui sebarang aplikasi dan menontonnya melalui pautan berkenaan.
Ia sekaligus dijangka akan membuatkan pengguna akan lebih aktif menerbitkan kandungan pada Snapchat, dan menggunakan pautan khusus berkenaan untuk dikongsikan bersama pengguna lain – atau turut menyertakan ia pada web masing-masing.
Buat masa permulaan ini, ciri baru ini diperkenalkan secara terhad di beberapa buah negara sahaja – dan akan diperluaskan secara berperingkat kepada semua. Malah, kandungan yang boleh dikongsikan juga adalah terhad kepada Official Stories dan Our Stories daripada tab Discovery sahaja.
Namun, seperti biasa, sesuatu kandungan akan hilang selepas masa luputnya. Sebagai contoh, Official Stories hanya ditawarkan untuk 24 jam, dan selepas tempoh berkenaan, pautan berkenaan akan hilang.
Jadi, dengan pengenalan ciri ini, adakah kita akan melihat Snapchat menerima permintaan kembali?