Avenir Telecom Memperkenalkan Energizer HardCase H240S – Telefon Asas 4G Dengan Rekaan Tahan Lasak

Avenir Telecom Memperkenalkan Energizer HardCase H240S – Telefon Asas 4G Dengan Rekaan Tahan Lasak

Diterbitkan pada Jan 24, 2018 oleh .

Telefon asas, ataupun feature phone boleh dikatakan cukup jarang sekali digunakan semenjak telefon pintar sudahpun menjadi lebih mampu milik beberapa tahun yang lalu.

Avenir Telecom, sebuah syarikat pengedar peranti telekomunikasi dari Perancis baru-baru ini mengumumkan peranti terbaru keluaran mereka, iaitu Energizer HardCase H240S, yang merupakan sebuah kerjasama bersama-sama pembuat bateri terkemuka Energizer.

Telefon Energizer ini dikuasakan oleh CPU empat-teras MediaTek MT6737M, memori 1GB, storan 8GB yang boleh dikembangkan sehingga 32GB melalui kad SD, sokongan untuk dual-SIM dan juga hadir dengan sokongan untuk sambungan 4G dan VOLTE (Voice Over LTE). Dari segi fotografi pula, telefon ini mempunyai kamera pandang belakang bersaiz 5MP dari Sony.

Energizer HardCase H240S ini juga menggunakan sistem operasi Android 6.0, dan hadir dengan bateri bersaiz 2000mAH yang boleh bertahan selama 9.5 hari dalam keadaan sedia.

Seperti namanya, telefon HardCase H240S ini juga mempunyai sokongan kalis air dan debu IP68, dan boleh ditenggelamkan didalam air sedalam 1.2 meter selama 30 minit. Bukan itu sahaja, ia juga boleh dijatuhkan setinggi 1.2 meter tanpa sebarang kerosakan.

Telefon Energizer HardCase H240S ini dikatakan sudahpun hadir di beberapa pasaran, tetapi tiada harga yang diumumkan buat masa sekarang, dan kami masih tidak tahu jika ia akan masuk ke pasaran Malaysia ataupun tidak.


TIPS & ULASAN