Oktober lalu Huawei Nova 2i telah dilancarkan di Malaysia dan menjadi antara peranti terawal yang dilengkapi dwi-kamera pada bahagian belakang serta hadapan. Dengan harga jualan RM 1299, ia adalah antara peranti kelas pertengahan yang mempunyai kombinasi harga mampu milik dan pelbagai fungsi tambahan. Dua lagi fungsi baru bakal diterima Nova 2i pada 30 Januari ini.
Kemaskini yang akan diberikan pada tarikh tersebut akan membawakan fungsi Nyah-kunci peranti menggunakan wajah dan lensa AR. Terdapat dua mod ditawarkan untuk nyah-kunci menggunakan wajah. Mod pertama menyahkunci terus ke muka hadapan peranti apabila wajah diimbas.
Mod kedua adalah seumpama yang ditemui pada iPhone X di mana notifkasi pada skrin kekunci hanya akan menunjukkan kandungan notifikasi apabila wajah dikesan. Ini memastikan mesej hanya akan dapat dibaca oleh pemilik. Peranti kemudian boleh dinyahkunci dengan menatal skrin.
Lensa AR pula ialah fungsi yang boleh ditemui pada Honor View 10 sebelum ini. Apabila kamera hadapan digunakan, latar belakang boleh digantikan dengan pelbagai imej yang tersedia seperti Menara Eiffel dan Sydney Opera House.
Untuk melakukan kemaskini, pengguna hanya perlu ke skrin tetapan dan memilih System Update. Kemudian mereka pergi ke menu pada skrin untuk memilih Download latest full package.