Anda mahukan peranti dengan skrin nirbingkai 18:9 tetapi tidak menyukai sistem imbasan jari pada panel belakang atau nyah-kunci menggunakan wajah? Sekiranya jawapan anda adalah ya, peranti yang anda idam-idamkan kini menjadi realiti. Vivo X20 Plus UD akhirnya dilancarkan secara rasmi di China hari ini dan merupakan peranti pertama dengan pengimbas cap jari terbina pada skrin.
Sistem imbasan cap jari Clear ID 9500 diletakkan di bawah skrin AMOLED sebesar 6 inci dengan resolusi FHD+. Peranti boleh dinyahkunci dalam masa 0.6 saat menggunakan pengimbas cap jari ini. Ia dijana pemproses Snapdragon 660, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64GB. Sebuah kamera sebesar 12+5 Megapixel f/1.8 digunakan pada bahagian belakang manakala kamera hadapan pula sebesar 12-Megapixel f/2.0.
Bateri sebesar 3800 mAh membekalkan kuasa kepada peranti yang menggunakan Android 7.1.1 dengan pelancar FunTouch OS 3.2. Sungguhpun dilengkapi pengimbas cap jari terbina pada skrin, sistem nyah-kunci menggunakan wajah Face Wake masih disertakan. Bagi peminat audio berkualiti tinggi peranti ini turut mempunyai DAC ES9318 dan amplifier Hi-Fi.
Di China Vivo X20 Plus UD akan mula dijual pada 29 Januari dengan harga RMB 3598 (~RM 2143) sebuah.