Carian
Apple Mungkin Hadir Dengan 3 Model Komputer Mac Dilengkapi Cip ARM Tambahan Pada Tahun Ini
January 29, 2018 Aman

Penggunaan cip ARM pada komputer seperti semakin menjadi kebiasaan akhir-akhir ini. Sebelum ini, kita telah melihat Microsoft mengumumkan bersama sejumlah rakan kerjasama untuk penawaran komputer berasaskan cip ARM yang sekaligus menawarkan masa penggunaan bateri lama.

Kini, menurut laporan Bloomberg, Apple turut dijangka memperkenalkan tiga model komputer Mac yang menggunakan cip ARM sebagai tambahan kepada cip pemprosesan utama pada komputer berkenaan.

Untuk makluman, sebelum ini Apple telah mengintegrasikan cip tambahan pada MacBook Pro melalui apa yang dikenali sebagai T1 untuk menyokong sensor Touch ID dan juga Touch Bar. Selain daripada itu, iMac Pro baru turut hadir dengan cip T2 yang mengawal sejumlah komponen serta untuk pengesahan ketika boot komputer sebelum beralih ke cip Intel.

Cip berasaskan ARM yang direkabentuk oleh Apple ini dilihat memfokuskan kepada mengoperasikan sejumlah ciri-ciri yang tidak memerlukan tenaga dan pemprosesan tinggi – dan pada masa yang sama menawarkan kadar sekuriti lebih baik.

Ia dikatakan dua komputer riba akan hadir dengan tambahan cip ini, selain sebuah komputer desktop.

Seperti biasa, kita mungkin akan mendengar lanjut mengenai penawaran baru Apple ini, dan apakah cip berasaskan ARM ini akan lakukan dalam bulan-bulan akan datang.

Komen