Carian
Pengeluaran iPhone X Dilaporkan Dipotong 50% Untuk Suku Pertama 2018
January 30, 2018 • Effi Saharudin

Adakah iPhone X peranti yang berjaya atau gagal? Ini bergantung kepada laporan siapakah yang anda rasakan lebih boleh dipercayai. Sebelum ini kami melaporkan iPhone X ialah peranti paling hangat jualannya untuk musim perayaan Krismas. Tetapi pada waktu yang sama wujud juga laporan jualannya lebih rendah dari yang disasarkan oleh Apple.

iPhone XTerkini Nikkei Asian Review melaporkan Apple telah memotong pengeluaran iPhone X sebanyak 50%. Sebelum ini mereka mensasarkan pengeluaran  sebanyak 40 juta unit untuk suku pertama 2018 tetapi kini telah mengurangkannya kepada 20 juta unit sahaja. Ini berikutan pengurangan permintaan dari pasaran US, China dan Eropah. Pengeluaran untuk iPhone 8 dan 8 Plus masih dikekalkan sebanyak 30 juta unit.

Pengeluaran yang dikurangkan ini akan mendatangkan kesan kepada Samsung yang mengeluarkan skrin OLED, Kyocera yang menghasilkan papan logik, Sony yang menghasilkan sensor kamera dan TDK yang menghasilkan bateri untuk Apple. Harga peranti yang mahal sekali lagi dijadikan penyebab mengapa jualan iPhone X sudah semakin perlahan. Di Malaysia ia sudah mula dijual dengan potongan harga sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Komen