Carian
Pengguna Malaysia Yang Paling Banyak Mengakses Kandungan Pornografi Kanak-Kanak Di Asia Tenggara
January 30, 2018 Effi Saharudin

Akses kepada kandungan pornografi adalah amat mudah sejak letusan penggunaan internet pada dekad 90an. Pengguna tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli dan ia semudah memasukkan kata kunci ke laman carian. Pornografi adalah salah di sisi undang-undang negara tetapi pornografi yang melibatkan kanak-kanak adalah yang paling dipandang serius.

Menurut laporan The Star hari ini, pengguna di Malaysia adalah yang paling tinggi mengkases kandungan pornografi kanak-kanak bawah umur di Asia Tenggara. Ini dedahkan oleh Asisten Komisioner Polis Chin Lan dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (D11). Berdasarkan data yang diberikan oleh polis Belanda yang berpangkalan di Malaysia pada 2015, 17,338 alamat IP yang terlibat dalam pornografi kanak-kanak adalah dari Malaysia.

Data dari tahun 2014 menunjukkan secara purata 60 kanak-kanak menjadi mangsa secara seksual individu yang ditemui menerusi internet. Angka meningkat ke 183 mangsa pada tahun 2016. Sebanyak  51% mangsa yang berumur di antara 13-15 tahun diserang mangsa yang dikenali menerusi aplikasi WeChat. Aplikasi lain yang digunakan ialah Facebook, WhatsApp dan Beetalk.

Situasi ini masih belum dipandang serius oleh kebanyakan ibu bapa kerana menurut SKMM, hanya 35.6% memantau penggunaan internet anak-anak mereka. Dunia semakin berbahaya dan peranti yang sepatutnya membantu kini digunakan oleh individu tertentu untuk mencari mangsa. Tiba masanya ibu bapa turut pintar dalam memantau bagi mengurangkan risiko anak-anak mereka menjadi satu lagi statistik jenayah.

Komen