Apple Dijangka Memberikan Nafas Baru Skrin Utama iOS Pada 2019

Apple Dijangka Memberikan Nafas Baru Skrin Utama iOS Pada 2019

Diterbitkan pada Jan 31, 2018 oleh .

Setiap tahun, Apple akan menawarkan kemaskini sistem operasi mudah-alih untuk iPad dan iPhone, iaitu iOS. Pada tahun ini, Apple dijangka menawarkan iOS 12, namun, kini menurut laporan awal daripada Axios, Apple dijangka akan menangguhkan sejumlah perkara baru yang disasarkan untuk iOS 12 sebelum ini ke tahun 2019 kelak.

Apple dikatakan akan memfokuskan lebih kepada kestabilan sistem operasi iOS sendiri pada 2018 ini, disamping menambah-baik lagi prestasi dan sekuriti sistem operasi berkenaan.

Untuk 2019 kelak pula, Apple dijangka menawarkan kemaskini rekaan skrin utama, rekaan baru untuk antaramuka ketika menggunakan peranti dalam-kenderaan, selain penambah-baikkan kepada aplikasi sedia ada utama seperti Mail, penyuntingan gambar dan sebagainya. Apple juga dijangka menawarkan kemaskini pengalaman perkongsian media pada 2019 kelak.

Bagi tahun ini pula, selain kemaskini prestasi dan sekuriti, Apple turut dijangka menawarkan beberapa perkara baru, termasuk penambah-baikkan untuk AR dan juga kawalan ibu-bapa untuk peranti.

Kebiasaannya, Apple akan memperkenalkan kemaskini iOS baru pada WWDC, sebelum melancarkannya kepada umum sekitar Oktober kelak.

Seperti biasa, Apple tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan perkara ini buat masa ini.


TIPS & ULASAN