(Ura-Ura) Microsoft Pernah Mempertimbangkan Untuk Mengambil-Alih Electronic Arts

(Ura-Ura) Microsoft Pernah Mempertimbangkan Untuk Mengambil-Alih Electronic Arts

Diterbitkan pada Jan 31, 2018 oleh .

Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh Microsoft untuk bersaing dalam arena permainan video dengan pihak Sony adalah berkaitan dengan penawaran permainan eksklusif untuk konsol Xbox. Sehingga kini, ia boleh dikatakan sangat terhad jikalau dibandingkan dengan penawaran untuk PlayStation keluaran Sony.

Bercakap mengenainya, kini hadir desas-desus mengatakan Microsoft pernah mempertimbangkan dan mungkin masih sedang berkira-kira untuk mengambil-alih Electronic Arts.

Sekiranya ini benar, maka ia akan memberikan Microsoft untuk akses kepada sejumlah kandungan keluaran Electronic Arts – sekaligus memberikan kelebihan penawaran eksklusif untuk peminat permainan video.

Sebelum ini sendiri, Microsoft telah membelanjakan sekitar $2.5 bilion untuk mengambil-alih Mojang, pengeluar Minecraft. Jadi, ia sekaligus membuatkan tidak mustahil untuk Microsoft membelanjakan sejumlah lagi wang dalam mendapatkan akses untuk sejumlah permainan video. Jikalau EA diambil-alih, Microsoft dikatakan mungkin membayar sekitar $35 bilion untuknya.

Desas-desus turut mengatakan Microsoft turut berminat dengan Valve dan juga PUBG Corp.

Apa pun, seperti dilaporkan oleh Aksiz, pengambil-alihan EA, Valve atau PUBG mungkin bukanlah cara terbaik Microsoft untuk menyelesaikan masalah kekurangan permainan eksklusif di Xbox.


TIPS & ULASAN