Cari @ Amanz

Facebook hari ini telah mengumumkan penyata kewangan untuk suku tahun ke-4 2017 yang lepas, sekaligus memperlihatkan sejumlah data-data menarik berkaitan perkhidmatan laman sosial terkemuka dunia berkenaan.

Facebook kini mempunyai lebih 2.13 bilion pengguna aktif setiap bulan, dan menariknya, sekitar 1.4 bilion pengguna menggunakan ia secara aktif setiap hari.

Walaupun angka pengguna terus berkembang positif, Mark Zuckerberg turut berkongsi mengatakan yang mana kini masa yang dihabiskan pengguna di Facebook berkurangan sekitar 5% berbanding sebelum ini.

Ini secara tidak langsung mengurangkan masa yang dihabiskan pengguna setiap hari pada perkhidmatan sosial berkenaan sebanyak 50 juta jam.

Pengurangan ini selari dengan beberapa perubahan yang ditawarkan pada News Feed oleh Facebook sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Seperti ramai sedia maklum, Facebook kini kurang mempertontonkan video-video berbentuk tular, selain dilihat akan lebih memfokuskan kepada perkongsian daripada rakan-rakan dan juga ahli keluarga.

Facebook pada masa yang sama turut mengumumkan yang mana mereka akan lebih memfokuskan kepada memperlihatkan kandungan yang meningkatkan kadar interaksi – dan pada masa yang sama membawa kepada komunikasi lebih bermakna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd